Akta 446: Gagal sediakan penginapan selesa kepada pekerja, 317 kertas siasatan dibuka

Abd Hadi Che Awang
Februari 26, 2021 17:21 MYT
Datuk Awang Hashim (dua,kiri) ketika melakukan pemantauan di sebuah rumah yang dijadikan asrama untuk pekerja kilang di Taman Perak dalam Operasi Penguatkuasaan Pematuhan Akta 466 di Kulim hari ini. - Foto BERNAMA
KULIM: Sebanyak 317 kertas siasatan telah dibuka bagi tindakan lanjut ke atas majikan di seluruh Malaysia bermula 1 Februari lalu selepas didapati gagal menyediakan penginapan yang kondusif dan selesa kepada pekerja.
Dalam tempoh yang sama, sebanyak 29,042 unit penginapan pekerja di seluruh negara yang melibatkan 3,652 majikan telah diperiksa di seluruh negara sebagai langkah penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim menyatakan bahawa antara kesalahan yang dikenal pasti pihaknya ialah mengubah suai ruang di dalam rumah penginapan, menempatkan pekerja di ruang yang sesak selain pekerja berlainan jantina diletakkan di dalam bilik penginapan yang sama.
"Ya (banyak kesalahan dikesan), memang (semuanya) tak ikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah diberi garis panduannya kepada para majikan, contohnya macam tempat makan dijadikan tempat tidur... memang tak boleh.
"Tempat ruang tamu (adalah) untuk kita rekreasi, untuk kita santai berbincang selepas kita stres bekerja. Para pekerja kita nak bincang nak bersembang, (untuk) jadikan tempat tidur memang tak sepatutnya berlaku," tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Operasi Bersepadu Khas Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 di beberapa buah kilang dan kediaman pekerja di Kulim pada Jumaat.
Dalam operasi berkenaan, hasil pemeriksaan mendapati premis-premis yang telah diperiksa tidak merekodkan sebarang kemalangan sepanjang tahun 2020, selain pihak premis telah melantik koordinator keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) bagi menyelia serta menyelesaikan isu berkaitan keselamatan.
Bagaimanapun, terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan segera terutamanya melibatkan penilaian risiko bagi aktiviti yang belum dibuat penilaian berkenaan.
Hasil pemeriksaan turut mendapati beberapa kesalahan telah dilakukan majikan terutama menempatkan lebih 30 pekerja di dalam satu rumah selain menjadikan bahagian dapur dan ruang tamu sebagai tempat tidur.
#majikan #Pekerja #kertas siasatan #SOP #ruang tamu #tempat tidur #Timbalan Menteri Sumber Manusia #Awang Hashim
;