Akta 446: Gagal sedia tempat tinggal pekerja, 59 majikan bakal didakwa - M Saravanan
Fareez Azman
Mac 15, 2021 15:00 MYT
Mac 15, 2021 15:00 MYT
PUTRAJAYA: 59 majikan akan dihadapkan ke mahkamah bermula bulan ini atas kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata ini merupakan kali pertama pendakwaan dijalankan terhadap majikan di bawah Akta 446 pindaan 2019 itu selepas penguatkuasaannya bermula pada 1 September 2020.
"Hasil pemeriksaan secara berterusan ini juga telah membawa kepada pembukaan sebanyak 124 kertas siasatan di bawah Akta 446 yang melibatkan 59 majikan pelbagai sektor termasuklah pembuatan sarung tangan getah dan perabot, pembinaan, peruncitan dan perkilangan di seluruh Semenanjung Malaysia.
"Daripada jumlah 124 kertas siasatan tersebut, 115 kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dengan 70 kertas siasatan diteruskan dengan pendakwaan," jelasnya dalam sidang media di Putrajaya pada Isnin.
70 kertas siasatan itu jelas Saravanan, melibatkan pertuduhan di bawah Seksyen 24D, Seksyen 24H, Seksyen 24J serta Peraturan 3 dan Peraturan 4 Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.
Bagi setiap kesalahan, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.
Sementara itu, mengulas mengenai Akta 446 pindaan di bawah pindaan Ordinan Darurat bermula 26 Februari lalu, jelas Saravanan lagi, sebanyak 3,256 majikan telah diperiksa dan melibatkan sejumlah 17,576 penginapan.
"Daripada pemeriksaan itu, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka dibawah Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 bagi tindakan kompaun," katanya lagi.
Justeru KSM tegas Saravanan, memohon syarikat pelbagai sektor di negara ini agar mematuhi Akta 446 dalam menjalankan tanggungjawab mengurangkan penularan COVID-19 disamping memulihkan ekonomi negara.
Tegasnya lagi, tiada syarikat akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati gagal atau enggan mematuhi akta itu.
"Saya harap syarikat-syarikat terlibat dalam siasatan ini, tolong bantu kerajaan supaya sama-sama kita tanggungjawab mengurangkan penularan COVID-19 dan perbaiki ekonomi negara.
"Kita masih bagi ruang, syarikat-syarikat ini kita minta jangan ambil kesempatan. KSM apabila melakukan siasatan, kita akan perhalusi kedudukan kewangan syarikat tersebut," jelasnya lagi.
#majikan didakwa
#penginapan pekerja
#Menteri Sumber Manusia
#Saravanan
#M Saravanan
#COVID-19
#mahkamah