Akta 446: Belum sesuai naikkan denda syarikat pembinaan langgar SOP - Saravanan
Hasimi Muhamad
September 28, 2021 11:38 MYT
September 28, 2021 11:38 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia belum bercadang menaikkan denda dan kompaun kepada mana-mana majikan dan syarikat pembinaan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ini kerana langkah tersebut bukan satu pendekatan yang baik buat masa ini berikutan negara masih menghadapi kegawatan ekonomi, selain banyak syarikat yang berdepan kekurangan tenaga kerja.
Jelas beliau lagi, setakat ini di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), syarikat yang melanggar SOP dikenakan kompaun berjumlah RM50,000.
"Kalau saya lihat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, jumlah pekerja asing yang mencarum di bawah PERKESO adalah seramai 1.8 juta. Tetapi dalam tempoh setahun, (jumlah) tersebut dari 1.8 juta turun kepada 1.1 juta, di mana negara betul-betul menghadapi krisis kekurangan tenaga kerja.
"Kalau kita nak baik pulih ekonomi, paling penting ialah untuk kita meningkatkan produktiviti. Bagi tujuan itu, kita perlukan tenaga kerja dan dalam keadaan seperti ini, bukan waktu dan masa yang sesuai untuk meningkatkan denda. Tetapi, kementerian mengambil maklum (cadangan meningkatkan denda)," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) yang bertanya adakah kementerian akan mengenakan penalti yang lebih ketat kepada syarikat yang melanggar Akta 446, memandangkan isu berkenaan masih berlanjutan.
Saravanan menambah, setakat 25 Ogos 2021, seramai 23,993 majikan telah diperiksa melibatkan 129,698 tempat penginapan yang didiami lebih 800,000 pekerja asing, dan hampir 1.2 juta pekerja tempatan.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan dan penguatkuasaan mulai 1 Jun tahun lalu sehingga kini, sebanyak 12,195 permohonan perakuan penginapan di bawah Akta 446 telah dibuat oleh majikan dan penyedian perkhidmatan berpusat melibatkan 992,743 pekerja.
"Susulan pemeriksaan tersebut juga, sebanyak 940 kertas siasatan telah dibuka, dan sebanyak 618 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Antara kesalahan yang dikenalpasti seperti kegagalan (menyediakan) permohonan perakuan penginapan, kegagalan memenuhi standard minimum penginapan seperti menyediakan almari, katil, tilam dan bantal serta lain-lain kesalahan di bawah akta tersebut," katanya menjawab soalan tambahan Ong Kian Ming (PH-Bangi).
Kian Ming meminta kementerian menyatakan apakah langkah yang akan dan sudah diambil untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain supaya jumlah penginapan yang mematuhi akta boleh ditambah.