Akta 355: 'Kit Siang berniat jahat' - Asyraf Wajdi
Harits Asyraf Hasnan
Mac 9, 2017 18:02 MYT
Mac 9, 2017 18:02 MYT
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berniat jahat apabila menggesa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) melepaskan jawatan susulan usul Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Akta 355 tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat penggal ini.
Tegasnya, Ahli Parlimen Gelang Patah itu secara konsisten berusaha untuk membuat provokasi demi mewujudkan sentimen ketakutan di kalangan rakyat khususnya bukan Islam.
“Kenyataan Kit Siang itu adalah satu kenyataan yang jahat sebagai satu usaha menghasut dan menakut-nakutkan rakyat Malaysia.
“Kenapa kali ini bila ada cadangan untuk meminda akta yang sama dan tidak akan ada kaitan dengan orang bukan Islam,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.
Jelas Asyraf, tindakan itu juga membuktikan bahawa DAP merupakan sebuah parti yang anti-Islam kerana mengaitkan pindaan Akta 355 dengan hukum hudud yang melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Akta ini tidak ada kaitan dengan bidang kuasa Persekutuan dengan kata lain tidak ada kaitan dengan isu hudud, kerana ada orang kata ini jalan pintas hudud, mana mungkin kita boleh buat ini satu jalan pintas hudud kerana kalau kita kata hudud melibatkan kuasa (Persekutuan) seperti mencuri dan merompak jadi kalau bidang kuasa (Persekutuan) kita kena pinda Perlembagaan.
“Pinda Perlembagaan kena dapat dua pertiga sokongan termasuk ahli-ahli Parlimen bukan Islam dan Islam kena bersetuju, jadi ini semua adalah sentimen yang sengaja nak ditakut-takutkan oleh parti yang kita tahu dari dulu sampai sekarang anti kepada Islam iaitu DAP,” tambahnya.
Akta 355 dijangka akan dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini selepas dua kali ditangguh oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Selepas menyuarakan gesaan menyatakan pendirian, Lim hari ini pula mendesak semua pemimpin MCA, MIC dan Gerakan memastikan tidak ada keistimewaan yang diberikan kepada akta tersebut dalam mesyuarat kabinet esok.
#Abdul Hadi Awang
#Asyraf Wajdi Dusuki
#Barisan Nasional
#Dewan Rakyat
#GERAKAN
#hudud
#jenayah
#Lim Kit Siang
#MIC
#Parlimen
#PAS
#rakyat Malaysia
#undang-undang