Akta 342: Kompaun mesti ikut garis panduan - Takiyuddin
Afiezy Azaman
April 27, 2021 08:44 MYT
April 27, 2021 08:44 MYT
KUALA LUMPUR: Denda maksimum bagi pengusaha perniagaan yang melakukan kesalahan beroperasi melebihi waktu dibenarkan ialah RM10,000.
Perkara itu ditetapkan dalam Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kompaun yang dikenakan di bawah akta tersebut mesti berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.
Jelasnya, segala tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan di bawah undang-undang adalah bertujuan untuk pencegahan dan bagi memberi pengajaran kepada pelaku.
Ini supaya, semua pihak bertanggungjawab dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 dalam komuniti, yang masih lagi berada di peringkat kritikal dan serius.
Katanya, pindaan dibuat terhadap Akta 342 bagi menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan terhadap sesuatu kesalahan kerana menyebabkan penularan COVID-19 dalam negara.
"Namun begitu, langkah mengenakan kompaun di bawah akta tersebut mesti dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Kerajaan telah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah Akta 342 untuk dijadikan panduan kepada pihak penguat kuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan SOP ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kontroversi nilai kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap seorang peniaga burger yang beroperasi melebihi had waktu ditetapkan di Kota Bharu, Kelantan, Isnin lalu.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, mengikut garis panduan tersebut, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori 3 yang boleh dikenakan kompaun maksima RM10,000.00.
"Pesalah-pesalah pula diberikan kadar pengurangan sebanyak 50% sekiranya membayar kompaun tersebut dalam tempoh 7 hari dan 25% sekiranya dalam tempoh 14 hari," jelasnya.
Pada Isnin, peniaga burger Wan Mohd Faisal Wan Kadir meluahkan rasa kecewa melalui media sosial apabila dikompaun RM50,000 kerana kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.
Ketika ini, Kelantan masih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Katanya, ketika sedang berniaga di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, dia didatangi pihak polis pada kira-kira jam 11 malam.
Tulisan Wan Mohd Faisal itu menerima simpati netizen yang menyifatkan kompaun RM50,000 itu tidak wajar dan pihak berkuasa sepatutnya sekadar memberi peringatan, bukan mengenakan kompaun.
#Takiyuddin Hassan
#SOP
#COVID-19
#pandemik
#penyakit berjangkit
#undang-undang
#peniaga
#operasi
#waktu operasi
#pematuhan