Akta 342 ditangguhkan, penting untuk dapatkan pematuhan rakyat - Khairy
Firdaus Azil
Disember 20, 2021 11:44 MYT
Disember 20, 2021 11:44 MYT
KUALA LUMPUR: Bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-Undang Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 atau Akta 342, sekali lagi ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat akan datang.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penangguhan itu dilakukan atas permintaan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi yang dipengerusikan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.
Penangguhan itu turut dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dalam hal pindaan Akta 342 ini, sangat penting untuk kita mendapat penerimaan rakyat dan juga pematuhan rakyat kerana ini berkaitan langkah-langkah kesihatan awam yang diperlukan untuk kita tangani bukan saja COVID-19, tapi jua apa saja penyakit berjangkit yang akan timbul.
"Akta 342 ini sangat penting untuk kita dapat pematuhan rakyat. Kalau sekiranya kita undi hari ini dan pindaan ini tidak lalui consensus bi-partisan, kita akan ada masalah pematuhan daripada rakyat kerana isu ini mempunyai pandangan berbeza dan tidak ada konsesus,” katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Akta 342 itu sepatutnya dibentangkan pada Khamis lepas untuk bacaan kedua dan ketiga, namun ditangguhkan ke hari ini selepas mendapat bantahan beberapa pihak mengenai kandungannya.
Antara yang dibangkitkan ialah mengenai nilai kompaun untuk individu sehingga RM10,000, selain tiada penjelasan mengenai pegawai yang diberi kuasa untuk melaksanakan kompaun.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, sekiranya Akta 342 itu diluluskan pada sidang akan datang, Kementerian Kesihatan akan menerbitkan garis panduan yang lebih jelas tentang pelaksanaan akta berkenaan.