Akta 164 bolehkan Menteri Dalam Negeri daftar perkahwinan pasangan bukan Islam - JPN
Bernama
Oktober 25, 2023 17:17 MYT
Oktober 25, 2023 17:17 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata bahawa Menteri Dalam Negeri selaku menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil boleh melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].
JPN dalam satu kenyataan hari ini berkata JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil serta merekodkan maklumat perkahwinan dan perceraian bagi bukan Islam.
"Berdasarkan Akta 164, Menteri Dalam Negeri merupakan menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang mana membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam.
Selain Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri serta pegawai dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan turut diberikan kuasa tersebut," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan video tular di media sosial ketika ini mengenai Menteri Dalam Negeri sedang mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan muslim di Pejabat JPN Putrajaya sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN pagi tadi.
Video berkenaan merupakan rakaman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah dijemput oleh JPN untuk merasmikan majlis itu dan antara pengisian program adalah mendaftarkan perkahwinan sivil dua pasangan yang telah dipilih oleh JPN.
Menurut JPN, sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan itu adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164, malah proses pendaftaran perkahwinan sivil itu juga tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.
Katanya lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata selain ia juga adalah persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan itu dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak.
"Malah sesi pendaftaran Perkahwinan Sivil dengan Yang Berhormat Menteri ini diadakan sebagai acara istimewa untuk pasangan terpilih ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun," katanya.
Sehubungan itu, JPN meminta orang ramai menghentikan penyebaran maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima bagi memastikan ketenteraman awam negara terus terpelihara.
-- BERNAMA
#Jabatan Pendaftaran Negara
#Menteri Dalam Negeri
#pendaftaran perkahwinan sivil
#bukan Islam
#Saifuddin Nasution
#video tular