Aksi sangat biadab The 1975: Polis panggil penganjur

Sinar Harian
Julai 22, 2023 13:32 MYT
Hussein Omar Khan (foto) berkata, pihak penganjur akan dipanggil memberi keterangan berhubung perkara itu petang ini. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Polis akan memanggil penganjur Good Vibes Festival 2023 susulan tindakan kumpulan The 1975 yang membuat aksi kurang sopan dalam konsert yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak penganjur akan dipanggil memberi keterangan berhubung perkara itu petang ini.
"Setakat ini, polis mendapati tiada sebarang laporan diterima berhubung kejadian," katanya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman yang dihubungi Sinar Harian berkata, setiap penganjuran konsert telah mendapat kebenaran dan perlu mematuhi beberapa ketetapan oleh agensi terlibat.
"Seharusnya perbuatan kurang sopan sebegini tidak berlaku dan polis memberikan ingatan agar perkara sebegini tidak berulang lagi.
"Difahamkan juga pihak penganjur mengambil tindakan menghentikan persembahan kumpulan The 1975 dengan segera susulan tindakan penyanyi yang berkelakuan tidak senonoh dalam konsert itu," katanya.
Media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Penyanyi tersebut didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). -Sinar Harian
#Hussein Omar Khan #Matty Healy #The 1975 #Good Vibes Festival 2023
;