Aksi murni anggota keselamatan ketika PKP terima pujian masyarakat

Bernama
April 10, 2020 08:44 MYT
Tindakan seorang anggota polis menyelamatkan seekor anak anjing yang terjatuh ke dalam longkang dirakam menerusi satu video berdurasi 1.37 minit dan dimuat naik di Facebook. - Foto Facebook PDRM
Kesibukan dan keletihan sewaktu menjalankan tugas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang petugas keselamatan negara melaksanakan khidmat bakti lain kepada makhluk dan insan yang memerlukan.
Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas, 'kelibat' Polis Diraja Malaysia (PDRM) sertaAngkatan Tentera Malaysia (ATM) sering dilihat setia berkawal di mana-mana bagi memastikan rakyat mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan.
Di sebalik kesibukan itu, mereka masih sempat menjadi 'hero' menyelamatkan seekor anjing yang terjatuh ke dalam longkang dan membantu seorang wanita orang kurang upaya (OKU).
Aksi murni mereka kini tular di media sosial Facebook (FB) dan mendapat maklum balas positif daripada orang ramai yang rata-rata memuji tindakan mereka itu.
Tindakan seorang anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menyelamatkan seekor anak anjing yang terjatuh ke dalam longkang pada Rabu dirakam menerusi satu video berdurasi 1.37 minit dan dimuat naik di Facebook Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police).
Video berkenan mendapat lebih 8,000 like dan 1,000 perkongsian setakat semalam.
Pemilik akaun FB Veronica Yong berkata: "PDRM terbaik sekali, 100 peratus tabik kepada anda. Berharap lebih ramai lagi yang menunjukkan kasih sayang kepada semua makhluk ciptaan Tuhan. Terima kasih, terima kasih."
Edwin Modungit berkata: "Semangat macam ni yang kita nak, boleh dijadikan inspirasi kepada masyarakat supaya sentiasa menyayangi apa pun hidupan. Semoga Tuhan membalas jasamu."
Video kedua berdurasi 1.00 minit, yang dimuat naik pemilik akaun FB Khairul Zulkefli pula memaparkan bagaimana seorang anggota ATM membantu wanita OKU yang difahamkan tidak mempunyai penutup hidung dan mulut ketika pergi membeli-belah di sebuah pasar raya.
Ia mendapat lebih 18,000 like serta 2,100 perkongsian pengguna media sosial.
Seorang pengguna media sosial itu, Mohd Azhar Nurriddin berkata: "Semoga mak cik ini sentiasa dilindungi. Tahniah 'petugas barisan hadapan' yang membantu, PDRM dan ATM."
Pengguna, My Gpx berkata: " Terima kasih bro! Semoga dipermudahkan segala urusan semuanya".
-- BERNAMA
#anak anjing #Facebook #media sosial #OKU #PDRM #PKP #polis #tentera #video
;