Aksi kejar mengejar berjaya tahan penyeludup daun ketum di sempadan negara

Adie Sufian Zulkefli
Februari 22, 2023 18:24 MYT
Daun ketum yang dibungkus dalam plastik hitam bertaburan selepas kenderaan yang membawa barangan penyeludupan itu terbabas. - Gambar ihsan PDRM
PADANG TERAP: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan dua lelaki dipercayai membawa daun ketum selepas cubaan melarikan diri dengan sebuah pacuan empat roda di kawasan Durian Burung, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand.
Beliau berkata, berikutan itu, anggota tentera yang sedang melakukan rondaan bermotosikal bertindak mengekori kenderaan suspek.
“Anggota ATM telah mengarahkan pemandu kenderaan terbabit untuk berhenti tetapi pemandu terus memecut dan kejar mengejar telah berlaku.
“Kenderaan tersebut cuba menghimpit motosikal anggota ATM dan hampir melanggar kenderaan awam menyebabkan pemandu Hilux itu hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan.
“Ketika kenderaan itu terbabas daun ketum bertaburan dan kedua-dua suspek warga tempatan itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mulkiaman berkata, salah seorang suspek mengalami cedera di kaki dan seorang lagi luka di kepala akibat kemalangan tersebut.
Bgaimanapun, kedua-duanya telah dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan sebelum ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan lanjut.
“Polis masih menjalankan siasatan dari mana daun ketum itu diperoleh dan untuk dihantar ke mana,” ujarnya.
#daun ketum #penyeludup daun ketum #Sempadan Negara #Durian Burung
;