Akses bomba terhalang punca kelewatan bomba

Bernama
Disember 27, 2012 23:29 MYT
Tugas memadam kebakaran di pangsapuri menjadi sukar jika akses anggota bomba dan penyelamat ke lokasi kejadian terhalang, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Derahman.
Selasa lepas, pasukan bomba lewat tiba untuk mengawal kebakaran yang memusnah sebuah pangsapuri milik seorang ibu tunggal di flet Sri Kelantan di Sentul Kuala Lumpur.
Khiruddin berkata bomba menerima panggilan pada 11.05 pagi dan segera mengerahkan 35 anggota dari balai bomba Sentul, Chow Kit dan Gombak tetapi akses jentera ke lokasi terhalang kerana laluan sempit akibat kenderaan awam tidak diletakkan secara teratur selain kehadiran gerai makanan di bahu jalan.
Semua barangan milik K. Gerjarani, 52, kerani di sebuah klinik swasta, yang yang tinggal bersama anak perempuannya berumur 27 tahun di pangsapuri itu sejak 20 tahun lalu, musnah dalam kebakaran.
Khiruddin berkata kegagalan penduduk setempat mematuhi panduan yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan usaha mengawal kebakaran di pangsapuri.
"Kerja-kerja memadamkan api paling cepat adalah 10 minit dan lebih daripada itu dianggap sebagai lewat dan tidak menepati standard piawaian ditetapkan," katanya.
Selain itu, katanya vandalisme juga menyumbang kepada kerosakan pili bomba dan sistem kebombaan lain sistem perenjis air atau 'sprinkler'.
Beliau berkata masyarakat harus memastikan kelengkapan peralatan bomba berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan jika berlaku kecemasan.
Khiruddin berkata langkah mengelak kebakaran termasuk memastikan peralatan elektrik dan memasak ditutup sepenuhnya, mengelak membuat penyambungan atau membebankan litar elektrik serta menyimpan bekas yang mengandungi cecair mudah terbakar di tempat yang jauh dan selamat daripada punca api.
#Akses bomba #Flet Sri Kelantan #kebakaran #Sentul
;