AKSB jamin bekalan air di Pasir Mas, Tumpat pulih sebelum Aidilfitri

Sinar Harian
Mac 31, 2024 14:31 MYT
AKSB sedang menyelesaikan masalah tersebut yang terkesan akibat fenomena El Nino dan kemarau. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Air Kelatan Sdn Bhd (AKSB) memberi jaminan gangguan bekalan air yang berlaku di Pasir Mas dan Tumpat akan pulih sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Jabatan Korporat AKSB berkata, ketika ini pihaknya sedang bertungkus-lumus menyelesaikan masalah tersebut yang terkesan akibat fenomena El Nino dan kemarau.
"Antara usaha yang kita ambil ialah pemasangan pam tambahan di luar muka sauk, kerja pembersihan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Kelar dan penyelenggaraan telaga jejari Semuba 1.
"Selain itu, kita turut mendapatkan bantuan khidmat lori tangki daripada rakan operator jika keadaan kritikal ini berterusan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, sebanyak 10 lori tangki juga telah diatur gerak di jajahan Pasir Mas serta 33 buah tangki statik manakala tiga lori tangki turut diatur gerak di jajahan Tumpat.
"Fenomena El Nino dan kemarau menyebabkan paras air sungai di muka sauk Loji Rawatan Air (KR) Kelar berada pada paras 0 meter sekali gus memberi kesan kepada 48,635 akaun pengguna di jajahan Pasir Mas dan Tumpat .
"Bagaimanapun jumlah keseluruhan akaun yang mendapat bekalan air dari LRA Kelar ialah lebih kurang 52,000 akaun," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kerosakan pam disebabkan oleh mendapan pasir dan sampah di LRA Kelar turut menyumbang kepada masalah gangguan tersebut.
Sinar Harian Online pada Ahad melaporkan penduduk di jajahan Pasir Mas dan Tumpat dijangka menyambut Aidilfitri tanpa bekalan air bersih.
Berdasarkan satu hantaran Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di Facebook pada Sabtu memaklumkan gangguan bekalan itu melibatkan 48,635 pemilik akaun.
Kerja-kerja penyelenggaraan dijangka selesai pada 15 April serta bergantung kepada situasi semasa paras air Sungai Kelar. - Sinar Harian
#aidilfitri 2024 #gangguan bekalan air #Kelantan #AKSB
;