AKSB akan selesai masalah paip bocor menerusi pelarasan tarif air baharu

Bernama
Januari 22, 2024 11:30 MYT
AKSB berkata dengan adanya sumber kewangan yang kukuh, aktiviti baik pulih paip bocor, berkarat atau tekanan air rendah juga akan dapat diselesaikan dengan lebih cepat. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KOTA BHARU: Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan menggunakan hasil yang diperoleh melalui pelarasan tarif air baharu nanti bagi menyelesaikan masalah paip bocor, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air kepada pengguna.
Pemangku Pengurus Besar AKSB Izani Ismail berkata dengan kenaikan purata 23 sen bagi setiap meter padu susulan pelarasan tarif air baharu yang akan bermula pada 1 Feb nanti, kerja-kerja pembaikan paip bocor akan dapat dipercepatkan.
"Dengan adanya sumber kewangan yang kukuh, aktiviti baik pulih paip bocor, berkarat atau tekanan air rendah juga akan dapat diselesaikan dengan lebih cepat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media-AKSB 2023 di sini, malam tadi.
Beliau berkata kadar kehilangan air tak terhasil (NRW) di Kelantan juga masih tinggi iaitu 50 peratus, dan masalah itu akan dapat dikurangkan sekiranya kebocoran paip dibaiki segera.
"Minggu ini, pihak kami dalam proses pemilihan pihak kontraktor yang sesuai dalam melaksanakan projek baik pulih, menukar dan mengubahsuai paip air sedia ada ke kediaman secara berfasa mengikut keperluan semasa," katanya.
Menurut Izani AKSB juga akan menaik taraf loji rawatan air (LRA) lama di negeri itu supaya kejadian air keruh yang diterima pengguna sebelum ini dapat diatasi.
Katanya Kelantan kini mempunyai 42 LRA, dan pihaknya akan menambah lima lagi LRA baharu antaranya di Merbau Chondong, Tok Bali, Bukit Chupak (Gua Musang), Chicha 2 dan Tanjong Mas bagi menampung keperluan pengguna di kawasan itu.
-- BERNAMA
#AKSB #pelarasan tarif air baharu #paip bocor #Izani Ismail
;