AKM: Kanak-kanak warga Korea teruja dapat bergambar dengan PM
Bernama
Ogos 19, 2022 07:15 MYT
Ogos 19, 2022 07:15 MYT
SHAH ALAM: Kehadiran dua kanak-kanak warga Korea yang sanggup berhimpit dengan orang ramai ketika Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir ke program kenduri trak makanan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Selangor berjaya mencuri tumpuan pemimpin negara itu.
Ismail Sabri yang menyedari kehadiran Ayman Inwoo Jeon, 10, dan adik perempuannya Minna Jeon, 7, sempat meluangkan masa bersama kedua-dua beradik yang hadir ke jelajah itu dengan ditemani ibu mereka Maryam Lee Eun Young.
Perdana Menteri juga sempat menyoal sama ada mereka boleh berbahasa Melayu dan Ayman mengangguk.
"Sekolah di mana?" tanya Ismail Sabri dan dibalas dengan jawapan tuisyen oleh Ayman.
Ketika ditemui Bernama selepas itu, Ayman berkata dia amat teruja serta bangga kerana dapat bertemu dengan Perdana Menteri walaupun dia dan adiknya dihimpit oleh kerumunan pengunjung.
"Saya nampak sekumpulan jurugambar sedang bertugas. Saya rasa teruja dan nak pergi tengok. Selepas itu, saya nampak lelaki (Perdana Menteri) berbaju putih sedang diambil gambarnya, jadi saya pun nak ambil juga.
"Saya terkejut apabila ibu saya memberitahu rupa-rupanya lelaki itu ialah Perdana Menteri Malaysia dan beliau sendiri memanggil saya dan sudi untuk mengambil gambar bersama saya walaupun beliau dah nak balik," katanya dalam Bahasa Melayu.
Terdahulu, lebih 1,000 pengunjung hadir untuk bersama-sama memeriahkan program kenduri trak makanan yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Pada program itu, Ismail Sabri turut merasmikan reruai COOP yang menjual lima barangan keperluan asas iaitu gula, minyak masak, tepung, beras dan ayam beku lebih murah berbanding harga pasaran.
-- BERNAMA