AKLEH tutup beberapa laluan bermula 10 Feb hingga April
Bernama
Februari 6, 2014 07:36 MYT
Februari 6, 2014 07:36 MYT
Beberapa laluan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) akan ditutup mulai Februari hingga April ini.
Projek Lintasan Kota Sdn Bhd, pemegang konsesi lebuh raya itu, dalam kenyataan Khamis berkata penutupan laluan itu bermula pukul 10 malam hingga 5 pagi bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaran dan penurapan semula jalan.
Enam laluan terlibat dalam penutupan jalan itu dan pengguna lebuh raya dinasihatkan menggunakan jalan atau susur masuk alternatif sepanjang tempoh penutupan itu.
Laluan pertama ditutup selama dua bulan bermula Isnin (10 Feb) hingga 10 April melibatkan susur masuk jalan Ulu Klang 2-MRR 2 (Flamingo) dan sebagai jalan alternatif pengguna boleh menggunakan jalan susur masuk Jalan Kerja Air Lama (Petronas).
Laluan yang sama itu juga ditutup dari 14 hingga 16 Feb bagi kerja-kerja penurapan semula jalan.
Kenyataan itu menyebut laluan kedua ditutup selama dua hari iaitu di susur masuk Jelatek 1 (Flat PPRT) dari 16 hingga 18 Feb dan jalan alternatifnya ialah susur masuk Jelatek 2 (Bomba).
Laluan ketiga iaitu susur keluar Ulu Klang 2 ke MMR2 (Sikh Tample) mula ditutup dari 18 hingga 20 Feb, dan pengguna lebuh raya boleh menggunakan jalan alternatif iaitu susur keluar Jalan Kerja Air Lama atau susur keluar Jalan Memanda 9 atau susur keluar Jelatek 3.
Dari 19 hingga 21 Feb, jalan susur keluar Jalan Kerja Air Lama akan ditutup selama dua hari dan sebagai jalan alternatif, susur keluar Jalan Memanda 9 boleh digunakan.
Dari 20 Feb hingga 22 Feb pula, laluan kelima yang ditutup membabitkan Jalan Memanda 9 (Arah Timur) Tiara Condominium. Orang ramai boleh menggunakan Jalan Ampang atau Jalan Memanda 1 atau Jalan Memanda 10 sebagai laluan alternatif.
Laluan terakhir pula ditutup dari 21 hingga 23 Feb melibatkan Jalan Memanda 9 (Arah Barat) Ampang Sport Planet dan sebagai laluan alternatifnya, Jalan Ampang atau Jalan Memanda 1 atau Jalan Memanda 10 boleh digunakan.
Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan mematuhi papan tanda dan arahan kakitangan Prolintas yang bertugas di kawasan terbabit sepanjang tempoh penutupan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol AKLEH: 1-300-88-1012. Maklumat trafik boleh didapati melalui Twitter AKLEH atau melayari laman web di www.prolintas.my.