Akibat cemburu, pekerja kilang ditikam rakan sebilik
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 29, 2018 17:00 MYT
Mei 29, 2018 17:00 MYT
Akibat cemburu, seorang wanita cedera ditikam teman serumahnya dalam kejadian di sebuah kondominium di Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Isnin.
Dalam kejadian kira- kira jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai operator kilang cedera di bahagian pinggang kanan apabila ditusuk dengan senjata tajam menyebabkannya mengalami luka sedalam 6 sentimeter (cm).
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan memberitahu, mangsa ditikam menggunakan pisau dapur oleh suspek yang juga seorang wanita berusia 23 tahun.
"Hasil siasatan awal kita dapati kejadian bermotifkan perasaan cemburu dan kedua-duanya saling mengenali sejak dua tahun lepas," katanya.
Hasil percakapan saksi yang juga rakan serumah mangsa, memaklumkan ketika kejadian dia sedang tidur apabila terdengar jeritan mangsa yang meminta tolong.
Dia yang meluru ke bilik berkenaan terkejut apabila mendapati suspek masih lagi memegang pisau dan mahu menyerang mangsa lagi.
Namun perbuatan itu dapat dihalang, dan mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Pantai sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Anbalagan berkata, suspek kemudiannya berjaya ditahan polis pada kira- kira jam 11 pagi selepas hadir memberi keterangan di Balai Polis Bayan Lepas.
Setakat ini, kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Suspek telah direman sehingga 3 Jun depan bagi membantu siasatan.