Akibat bebanan hutang, tiga beranak minum racun sebelum terjun ke sungai

Sinar Harian
Oktober 19, 2018 17:29 MYT
Anggota bomba membantu mengangkat mayat mangsa lemas. - Foto JBPM Perlis
Tiga beranak yang lemas di tiga lokasi berasingan di Arau, semalam dipercayai meminum racun sebelum terjun ke sungai berkenaan akibat bebanan hutang.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, perkara itu berdasarkan keterangan awal anak lelaki mangsa berusia 37 tahun kepada polis selepas dia ditahan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah, malam tadi.
"Berdasarkan hasil rakaman percakapan terhadap lelaki berkenaan, dia dikatakan cuba membunuh diri bersama ahli-ahli keluarganya disebabkan tekanan perasaan akibat hutang," katanya.
Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa kesemua mereka meminum racun sebelum terjun ke dalam sungai di kawasan kejadian pada jam 2.45 pagi.
Bagaimanapun lelaki berkenaan membatalkan hasratnya dan berenang semula ke tebing sebelum balik semula ke Sungai Petani.
"Lelaki berkenaan bersama tiga ahli keluarganya didakwa datang ke lokasi kejadian dengan menaiki kereta api dari Sungai Petani, mereka memilih lokasi tersebut kerana ia kampung kelahiran ibunya yang berusia 64 tahun," katanya.
Susulan tangkapan itu, Noor Mushar berkata, polis mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari bermula hari ini terhadap lelaki berkenaan bagi membantu siasatan terhadap kes lemas tersebut.
Lelaki terbabit dilihat hadir di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar kira-kira jam 10 pagi sambil diiringi dua pegawai polis dalam keadaan berpakaian lokap dan bergari.
Perintah tahanan reman itu diperoleh daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah.
Dia disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri dan Seksyen 35(e) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 kerana menyembunyikan kematian.
Semalam, media melaporkan tiga mayat sekeluarga dipercayai mati lemas ditemukan di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat.
Mayat pertama, Norzalina Baharom, 35, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di Sungai Arau, Kampung Belat Batu di sini, kira-kira jam 9 pagi.
Tidak lama selepas itu, mayat kedua iaitu Norma Pin, 64, ditemukan orang awam di Sungai Tambun Tulang di sini iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama.
Tiga jam kemudian iaitu kira-kira jam 12 tengah hari, mayat suami kepada Norma, Baharom Ahmad, 66, pula ditemukan di pintu tali air B, Sungai Tambun Tulang berhampiran Kampung Che Ok, Simpang Empat.
#Arau #bebanan hutang #lemas #minum racun #Sungai Petani #Taman Ria Jaya #tiga beranak
;