Akhyar, Eyka Farhana ikat tali pertunangan
Sinar Harian
November 4, 2024 19:00 MYT
November 4, 2024 19:00 MYT
PEMAIN sayap Harimau Malaya, Muhammad Akhyar Rashid telah mengikat tali pertunangan dengan pelakon, Eyka Farhana.
Detik manis itu dikongsikan sendiri Akhyar yang juga pemain Terengganu FC menerusi Instagram miliknya yang turut memuat naik beberapa gambar pertunangan dengan Eyka.
Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi turut memuat naik gambar pertunangan yang memperlihatkan pasangan itu mengenakan pakaian sedondon berwarna coklat.
Difahamkan pasangan itu telah bertunang pada 4 Ogos lalu berdasarkan tarikh pada kek dalam gambar yang dikongsikan Eyka.
"Salam tunangku," tulis Eyka di laman Instagram miliknya.
Rakan-rakan Akhyar turut tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan tahniah pada bahagian komen Instagram pemain kelahiran Jitra, Kedah itu.
Antaranya rakan sepasukan Akhyar di Terengganu FC iaitu Safawi Rasid yang mengucapkan tahniah kepadanya.
"Tahniah Aky. Semoga dipermudahkan," tulis Safawi.
"Alhamdullilah, tahniah bosku," tulis pemain Kuching City FC, Hazwan Bakri. - Sinar Harian