Akhramsyah sifatkan Tony sebagai 'Anjing DAP'
Bernama
Oktober 10, 2013 12:54 MYT
Oktober 10, 2013 12:54 MYT
Calon Ketua Pemuda UMNO Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menyifatkan Ketua Publisiti DAP Tony Pua sebagai 'anjing DAP' kerana sering menyalak untuk menutup kepincangan parti itu dengan menghina Pertubuhan Pendaftar (ROS) dan akhbar Utusan Malaysia.
Akhramsyah berkata Tony bertindak sedemikian bagi mengalih perhatian orang ramai daripada melihat kelemahan DAP khususnya berkaitan dengan isu pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti pembangkang itu.
"Sebenarnya beliaulah (Tony) `anjing DAP' kerana sikapnya yang sering menyalak untuk menutup kepincangan parti berkenaan dan beliau sepatutnya melihat semula kepincangan dalam CEC itu kerana ia dibangkitkan sendiri ahli DAP.
"Jangan mengheret orang lain kerana pemilihan semula itu adalah kehendak majoriti ahli DAP selepas merasakan berlaku manipulasi dan penyelewengan dalam pemilihan CEC terdahulu," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Tony dalam laman Facebooknya baru-baru ini menggelar ROS dan Utusan Malaysia sebagai 'anjing UMNO' selepas parti itu diarah menjalankan pemilihan semula CEC berikutan pelbagai pihak mempertikai kewibawaan proses pemilihan CEC pertama pada 15 Disember lalu.
Akramsyah yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bendang Baru Langkawi berkata sikap Tony yang enggan memohon maaf kepada ROS dan Utusan Malaysia ekoran kenyataannya itu hanya menyerlahkan sifat angkuh Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara itu.
"Sebagai seorang anggota Umno saya mendesak Tony memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ahli Umno, kakitangan ROS dan Utusan Malaysia di atas tindakannya yang begitu celupar serta biadap sehingga melangkaui batas dan nilai-nilai murni kehidupan," katanya.
Beliau turut mengesyorkan supaya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng meletak jawatan atas kegagalannya mentadbir parti itu sehingga menyebabkan DAP di ambang pembatalan pendaftarannya.
"Mungkin tugas Lim sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang terlalu berat untuk dipikul bersama dengan tugas Setiausaha Agung DAP jadi saya rasa lebih baik beliau melepaskan jawatan Setiausaha Agung itu," katanya.
Sementara itu, Akramsyah menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan nasibnya dalam persaingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan sayap UMNO 12 Okt ini.
"Saya telah turun padang bertemu perwakilan dan sebagai seorang Islam sekarang ini saya berserah kepada Allah untuk jawatan itu tetapi berdasarkan maklum balas, keyakinan untuk menang adalah dalam 60 hingga 65 peratus," katanya.
Beliau yang merupakan anak sulung kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid berkata beliau juga tidak akan kecewa jika kalah dan akan terus memperjuang serta menghidupkan kembali agenda perjuangan Melayu.
#Akhramsyah Muammar
#Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara
#CEC
#DAP
#ketua pemuda
#Lim Guan Eng
#Majlis Tertinggi UMNO
#pemilihan
#pemilihan sayap UMNO
#Pertubuhan Pendaftar
#ros
#Setiausaha Agung DAP
#Tony Pua
#utusan malaysia