Akhiri pemerintahan sebagai Agong: Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah bakal dirindui rakyat

Bernama
Januari 30, 2024 20:10 MYT
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tidak lekang memberikan senyuman di samping isyarat tangan yang menunjukkan tanda "I Love You" sambil memberikan 'lambaian kasih' dari dalam kenderaan. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Selepas lima tahun bersemayam di atas tahta singgahsana sebagai Ketua Utama Negara, hari ini tamatlah tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Sepertimana lazimnya, keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong selepas tamat penggal pemerintahan disempurnakan dengan upacara penuh simbolik, dan upacara yang bermula seawal 8 pagi di Istana Negara hari ini jelas mengundang sebak dalam kalangan rakyat.
Baik yang menonton siaran langsung di saluran RTM dan warganet yang mengikuti istiadat itu di media sosial mahupun yang berada di beberapa lokasi bagi mengiringi keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, rata-rata tampak sayu, mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan diraja itu.
Istiadat keberangkatan balik Seri Paduka berdua bermula apabila Al-Sultan Abdullah, 64, yang melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019, dan Tunku Azizah berangkat meninggalkan Istana Negara dalam acara ringkas namun penuh istiadat diraja pada 8.30 pagi.
Keberangkatan balik Seri Paduka berdua diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku menteri pengiring, dan isteri Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad.
Mengenakan 'Muskat' iaitu pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang tampil berbaju kurung rona biru berangkat meninggalkan perkarangan Istana Negara dengan menaiki kenderaan khas.
Seri Paduka berdua melintasi pasukan kawalan kehormatan darjat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Kem Wardieburn, Setapak yang turut mempersembahkan "Hormat Diraja" dan serentak itu lagu Negaraku dimainkan mengiringi keberangkatan Seri Paduka berdua ke Dataran Parlimen.
Ketibaan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri Datuk Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, sambil diiringi tiupan nafiri oleh 22 anggota Skuadron Istiadat Berkuda yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh, Selangor, diketuai Sarjan Ismail Katirin.
Selepas upacara rasmi di Dataran Parlimen, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan untuk bersalaman dengan barisan Jemaah Menteri, Ahli-Ahli Parlimen, Ketua-ketua Jabatan dan agensi kerajaan serta perwakilan asing.
Cuaca panas terik tidak sedikit pun merosakkan 'mood' Seri Paduka berdua yang tetap berdiri hampir 40 minit menyantuni para jemputan sebelum berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Sebaik sahaja kenderaan membawa Seri Paduka berdua keluar dari Bangunan Parlimen, pasangan diraja itu disambut pula oleh rakyat jelata yang telah menunggu seawal 6 pagi di sepanjang Jalan Parlimen hinnga ke Bulatan Dato' Onn.
Terkenal sebagai pasangan diraja yang mesra rakyat, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tidak lekang memberikan senyuman di samping isyarat tangan yang menunjukkan tanda "I Love You" sambil memberikan 'lambaian kasih' dari dalam kenderaan.
Sifat 'sporting' dan kemesraan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah itulah antara yang akan dirindui rakyat selepas lima tahun bernaung di bawah pemerintahan Seri Paduka. Keterbukaan yang ditunjukkan pasangan diraja itu telah menarik perhatian dan mendekatkan rakyat dengan institusi diraja.
Di perkarangan Kompleks Bunga Raya, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut dengan perarakan penuh warna-warni, simbolik zaman kegemilangan raja-raja Melayu silam.
Hampir 400 peserta yang lengkap berbusana tradisional mewakili masyarakat pelbagai kaum mengiringi kenderaan khas yang membawa Yang di-Pertuan Agong dari persimpangan Kompleks Bunga Raya hingga anjung kompleks berkenaan.
Perarakan berwarna-warni yang dikelolakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu juga dimeriahkan dengan paluan gendang oleh 20 pemukul gendang.
Ketibaan pasangan diraja itu di Kompleks Bunga Raya disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. Turut sama menyambut ketibaan Seri Paduka berdua ialah Perdana Menteri serta kedua-dua timbalan perdana menteri.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah meluangkan masa hampir sejam di Kompleks Bunga Raya untuk beramah mesra dengan tetamu sebelum berlepas pulang ke Pahang dengan pesawat khas yang diiringi dua pesawat Pejuang TUDM iaitu F/A 18D Hornet daripada No 18 Skn yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth tepat pada 11.16 pagi.
Di Kuantan, rakyat Pahang berkumpul seawal 6 pagi tanpa menghiraukan cuaca hujan renyai, bagi menyambut keberangkatan balik Al-Sultan dan Tunku Azizah di sepanjang Jalan Mahkota sebagai tanda ucapan 'selamat kembali' kepada Sultan dan Tengku Ampuan Pahang itu.
Pasangan diraja itu selamat tiba di Pangkalan Udara Tentara DiRaja Malaysia (TUDM) Kuantan pada 11.55 pagi, disambut anakanda Seri Paduka, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, kerabat diraja, dan barisan pemimpin kerajaan negeri, diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta ribuan rakyat negeri Pahang.
Kepulangan pasangan diraja itu disambut cukup meriah oleh rakyat Pahang yang seolah-oleh melepaskan kerinduan kepada Seri Paduka berdua. Rata-rata tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan Yang di-Pertuan Agong yang juga kelihatan begitu santai menyantuni orang ramai.
Selain itu, Seri Paduka berdua sekali lagi disambut perarakan diraja yang turut disertai 16 ekor kuda dari Kelab Polo Diraja Pahang sejauh satu kilometer bermula dari Kompleks Teruntum, termasuk seekor kuda kesayangan Al-Sultan Abdullah bernama Cacu, kuda jantan berusia tujuh tahun dari baka Criollo.
Dua ekor gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah turut memeriahkan perarakan dengan mengiringi perjalanan Seri Paduka dari Jalan Teluk Cempedak ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Istiadat keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah diakhiri dengan Majlis Santapan Tengah Hari di dewan berkenaan.
Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan 2019 menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.
Menjunjung Kasih, Tuanku.
-- BERNAMA
#cuaca panas #mengiringi perjalanan #Orang ramai #zaman kegemilangan
;