MH370
Selamat Omar, bapa kepada salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH 370, Mohd Khairul Amri Selamat, membaca akhbar tempatan pagi tadi.
--fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Semua akhbar tempatan pada Selasa terbit dengan muka depan berwarna hitam sebagai tanda menghormati semua 239 orang penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi.

Akhbar The Star menerbitkan muka depannya dengan memaparkan nama kesemua 239 orang yang menaiki pesawat malang itu dengan tajuk besar "MH370 R.I.P". Nama kesemua penumpang dan anak kapal pesawat itu dicetak berbaris membentuk tajuk muka depan itu.

"The Star ikut berdukacita bersama dunia dan mengucapkan takziah yang teramat mendalam kepada keluarga 239 penumpang dan anak kapal," kata akhbar itu.

Akhbar The New Straits Times pula menampilkan foto hitam putih pesawat Boeing 777-200 penuh satu halaman dengan "Goodnight, MH370".

Berita Harian meletakkan tajuk berita "MH370 Terhempas di Lautan Hindi" bersama gambar reaksi ahli keluarga penumpang dan anak kapal.

Utusan Malaysia menggunakan tajuk "MH370 berakhir di Lautan Hindi", juga foto reaksi dari anggota keluarga yang terlibat.

Manakala Sinar Harian pula memilih perkataan "PILU" sebagai tajuk utamanya

Di laman rangkaian media sosial seperti Facebook dan Twitter, orang ramai juga menukar gambar profail mereka dengan latar belakang hitam atau memaparkan ikon sebagai tanda simpati serta dukacita atas tragedi ini.