Akauntan GISB dilepaskan sementara dengan jaminan
Sinar Harian
Januari 13, 2025 14:31 MYT
Januari 13, 2025 14:31 MYT
SHAH ALAM: Seorang akauntan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) yang didakwa bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) iaitu menyertai ahli kumpulan jenayah terancang, menjadi tertuduh pertama dilepaskan dengan jaminan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.
Hakim, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin yang mewakili akauntan GISB, Hamimah Yakub, 73, selaku permohon.
Semasa membaca keputusan ringkas, Latifah berkata, peruntukan Seksyen 13 (2) (b) Akta Sosma menyatakan, mana-mana tertuduh tidak akan diberi ikat jamin, kecuali mengikut beberapa kategori pengecualian jaminan.
Bagaimanapun, selepas membaca notis permohonan dan mendengar hujahan bertulis pihak-pihak selain mengambil kira, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan terbabit, maka mahkamah mengguna kuasa budi bicara untuk membenarkan jaminan.
“Mahkamah mengambil kira alasan, pemohon merupakan seorang wanita, tiada keterangan daripada daripada pihak responden iaitu pendakwaan, menunjukkan pemohon mempunyai risiko untuk larikan diri atau mengganggu saksi.
“Mahkamah juga mengambil kira faktor usia pemohon mencecah 73 tahun dan mempunyai masalah kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, pemohon diberikan ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, sekali setiap dua minggu.
Katanya, pemohon juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi dan hadir di setiap prosiding sehingga perbicaraan selesai.
Semasa hujahan, Kamal Hisham berkata, anak guamnya termasuk dalam kategori yang membolehkan dia dilepaskan sementara dengan jaminan.
Menurutnya, mengikut Seksyen 13 (2) (b) akta itu, mahkamah boleh pertimbangkan untuk memberikan jaminan sekiranya tertuduh, memenuhi syarat antaranya, seorang wanita, berusia bawah 18 tahun atau mempunyai penyakit yang dahsyat.
“Anak guam saya jelas termasuk dalam kategori itu, kerana dia merupakan seorang wanita warga emas, mempunyai penyakit asma, diabetis, hipertensi dan enzema kronik.
“Dia telah ditempatkan di Penjara Wanita Kajang sejak empat bulan lalu, iaitu bermula 20 September 2024, menyebabkan tahap kesihatannya semakin merosot, memandangkan keadaan jel yang serba kekurangan dan tidak selesa dari segi kebersihan," katanya.
Sementara itu, Muhammad Nor berkata, semasa memasukkan syarat, golongan wanita boleh diberi pengecualian, menunjukkan niat dan semangat Parlimen untuk mengangkat darjat wanita sebagai Istimewa.
“Ditambah pula dengan keadaannya yang mencecah usia warga emas dan mempunyai sejarah penyakit," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun berkata, pendakwaan tidak membantah permohonan jaminan itu.
Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau mencadangkan, ikat jamin ditetapkan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sekali setiap dua minggu dan tidak mengganggu saksi kes.
Pada 23 Oktober tahun lalu, warga emas itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISB), di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang di sini pada Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen Selayang membenarkan kes dihadapi Hamimah bersama 21 yang lain, dipindahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.
Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISB), Datuk Nasiruddin Mohd Ali, 66; isterinya, Datin Azura Md Yusof, 58, dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa'ari, 33.
Ia termasuk 11 tertuduh lelaki lain iaitu Mohd Shukri Mohd Noor, 54, Hasnan Abd Hamid, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd Fazil Md Jasin, 58, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Tujuh tertuduh wanita lain ialah Asmat@ Asmanira Muhammad Ramly, 45, Mahani Kasim, 55, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29, Nur Jannah Omar, 33 dan Siti Salmiah Ismail, 58. -- Sinar Harian