Akaun X Tun M digodam, tayang iklan mata wang kripto

Sinar Harian
Februari 5, 2025 22:16 MYT
Tangkap layar hantaran di akaun X milik Tun M pada Rabu. - Sinar Harian
SHAH ALAM: Akaun media sosial, aplikasi X milik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu @chedetofficial telah digodam dan tidak dapat diakses sejak pagi Rabu.
Pegawai kepada Dr Mahathir, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin berkata, dia juga menerima kiriman e-mel daripada aplikasi berkenaan yang turut memaklumkan mengenai kejadian tersebut.
“Saya cuba log masuk semula tetapi tidak dapat. Buat masa ini pihak X beritahu kena tunggu beberapa hari (untuk menyelesaikan masalah itu).
“Sekarang ini kita cuba untuk mendapatkan semula akses untuk akaun berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Akaun bekas Ahli Parlimen Langkawi itu disalah guna dengan memuat naik hantaran iklan berhubung mata wang kripto.
Bagaimanapun, hantaran tersebut telah dipadam daripada akaun terbabit selepas sejam kemudian.
Ketika ditanya reaksi Tun Mahathir, ujar Adam, beliau masih belum dimaklumkan mengenai isu berkenaan.
“Kita masih belum beritahu Tun (Dr Mahathir) lagi. Insya-ALLAH kita akan beritahu esok,” ujarnya.
- Sinar Harian
#akaun X #media sosial #Mahathir Mohamad #digodam
;