Akaun Twitter BermanaTV digantung - MCMC

Bernama
Disember 6, 2020 13:54 MYT
MCMC berkata, akaun-akaun sebegini mungkin boleh diwujudkan semula dan orang ramai perlu berwaspada agar tidak mudah terpengaruh.
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Twitter, telah menggantung akaun 'BermanaTV' (@Bermanadotcon) yang didapati melanggar Piawaian Komuniti yang ditetapkan oleh penyedia platform media sosial itu.
MCMC dalam kenyataan hari ini menyatakan paparan-paparan di akaun tersebut sering mengelirukan masyarakat, dengan berselindung di sebalik nama parodi yang seolah-olah dikaitkan dengan sebuah agensi berita nasional.
"MCMC menghargai tindakan yang diambil oleh Twitter berdasarkan aduan yang dimajukan oleh MCMC.
"Namun demikian, langkah penggantungan atau pemadaman akaun adalah bersifat reaktif dan sementara.
"Akaun-akaun sebegini berkemungkinan boleh diwujudkan semula dan orang ramai perlu berwaspada agar tidak mudah terpengaruh," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyatakan, orang ramai boleh memastikan kesahihan setiap maklumat dengan mengikuti saluran rasmi serta akaun media sosial yang mendapat lencana pengesahan biru atau kelabu daripada penyedia platform seperti Twitter, Facebook, Instagram, YouTube dan sebagainya.
Menurut kenyataan itu, lencana ini mengiktiraf bahawa sesuatu akaun media sosial berasal daripada organisasi serta individu yang telah disahkan.
"MCMC akan terus menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan kewujudan akaun-akaun palsu di media sosial yang berniat jahat.
"Akaun palsu sengaja diwujudkan untuk melindungi identiti sebenar bagi tujuan menipu, menimbulkan syak wasangka dan memecahbelahkan masyarakat," menurut kenyataan itu lagi.
-- BERNAMA
#Twitter #gantung #BermanaTV #media sosial #MCMC #langgar Piawaian Komuniti #Bermanadotcon #akaun palsu #padam akaun #waspada #terpengaruh #parodi #agensi berita #menipu #syak wasangka
;