Akaun TikTok jual dadah dalam bentuk lolipop telah disekat - Fahmi

Khalis Khadir
September 25, 2024 17:15 MYT
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan Kabinet, di Kementerian Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: TikTok telah mengambil tindakan terhadap satu akaun pengguna dengan menurunkan kandungan jualan dadah dalam bentuk lolipop selepas ia tular di media sosial.
Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, pihaknya cakna terhadap isu berkenaan dan kini akaun berkenaan sudah tidak boleh diakses.
“Kita sudah buat carian pagi tadi dan ia menunjukkan pihak TikTok sudah ambil tindakan dengan menurunkan akaun itu jadi ia tidak lagi boleh diakses. Dalam erti kata lain akaun itu telah hilang.
“Berdasarkan produk tersebut saya minta MCMC meluaskan siasatan dan carian untuk mengenal pasti pihak lain yang cuba menjual dadah seperti ini di platform media sosial yang lain juga, bukan terhad kepada TikTok semata-mata,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, pada Rabu.
Fahmi menjelaskan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mendapatkan maklum balas daripada TikTok untuk mengetahui punca akaun penjualan dadah itu boleh beroperasi dalam satu tempoh yang agak panjang.
Beliau berkata MCMC sebelum ini membuat satu laporan polis mengenai isu berkenaan berikutan tular di laman X yang mendakwa dadah dijual secara terang-terangan di platform e-dagang.
#TikTok #dadah TikTok #Fahmi Fadzil #MCMC #lolipop
;