Akaun IG dakwa ada maklumat kes simbah asid Faisal Halim adalah palsu - PDRM
Bernama
Mei 8, 2024 18:24 MYT
Mei 8, 2024 18:24 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti bahawa akaun Instagram atas nama Muhammad Imran Suresh, yang mendakwa memiliki maklumat berkaitan kes kejadian simbah asid pemain skuad kebangsaan, Faisal Halim adalah akaun palsu.
Tanpa menjelaskan butiran lanjut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya sedang memantau perkembangan kes itu dan siasatan sedang giat dilakukan.
"Kita sedang memantau (situasi). Kita tidak mempunyai angka (berhubung jumlah akaun palsu yang ditemui) buat masa ini sebab kadang-kadang ada (muncul), selepas itu sudah tiada.
"Kita akan meminta bantuan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk bantu PDRM (dalam mengenal pasti pemilik-pemilik akaun media sosial ini)," katanya pada sidang media khas Pengarah JSJ di Bukit Aman di sini hari ini.
Mohd Suhaily turut meminta semua pemain bola sepak profesional sama ada pemain kebangsaan atau di peringkat liga supaya sentiasa berwaspada dalam menjaga keselamatan diri.
Pada malam tadi, cermin kereta pemian tengah pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) Safiq Rahim dipecahkan individu tidak dikenali berhampiran Pusat Latihan JDT, Jalan Sri Gelam, Johor Bahru.
Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.
Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira 5 petang.
Pada 2 Mei, pemain bola sepak kebangsaan Akhyar Rashid dilaporkan cedera selepas menjadi mangsa samun dalam kejadian di Terengganu.
Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily berkata siasatan terhadap kes pembunuhan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin masih dijalankan dan pihaknya sentiasa menanti petunjuk baharu.
"Kes masih aktif. Menantikan petunjuk-petunjuk baharu. Malangnya, kami tidak menemukan apa-apa petunjuk baharu. Saya tahu masyarakat tidak berpuas hati tentang ini.
"Kita harap kes ini masih ada sinar (untuk diselesaikan) dan kehadiran orang ramai ketika kejadian itu, berkemungkinan memusnahkan bukti-bukti yang ada. Berkemungkinan," katanya.
Pada 5 Dis tahun lepas, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai di Petaling Jaya sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan harinya.
-- BERNAMA