Akaun Fleksibel untuk pengeluaran kecemasan KWSP dilaksana tahun depan - Ahmad Maslan

Astro Awani
Oktober 23, 2023 14:34 MYT
Ahmad berkata tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk membuka satu lagi akaun kepada pencarum KWSP iaitu Akaun Fleksibel mulai tahun depan. -Foto Japen
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang meluluskan sekali lagi pengeluaran bersasar daripada dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sebaliknya, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk membuka satu lagi akaun kepada pencarum KWSP iaitu Akaun Fleksibel mulai tahun depan.
Melalui inisiatif berkenaan, jelas beliau, ia membolehkan pencarum membuat pengeluaran bagi tujuan kecemasan.
"Mulai tahun depan, sudah diumumkan dalam Belanjawan 2024 kita akan membuka satu lagi akaun untuk pencarum KWSP.
"Buat masa ini, akaun KWSP adalah terdiri daripada Akaun I dan Akaun II. Apa yang diumumkan adalah Akaun Fleksibel.
"Kita akan mengumumkan mengenai apa maksud Akaun Fleksibel ini, yang mana Akaun III boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira mereka daripada kumpulan B40, M40 atau T20 pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Ahmad (BN-Pontian) menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang bertanyakan adakah kerajaan bercadang melaksanakan pengeluaran bersasar.
Menjawab lanjut, beliau berkata kerajaan akan membuat pengumuman lanjut berhubung mekanisme pelaksanaan Akaun Fleksibel termasuk melibatkan peratusan simpanan.
"Sekarang ini sedang dimuktamadkan. Pengeluaran seperti dulu kita tidak buat lagi.
"i-Lestari (melibatkan pengeluaran sebanyak) RM20.8 bilion; i-Citra sebanyak Rm21.4 bilion; i-Sinar sebanyak RM58.7 bilion; serta pengeluaran khas sebanyak RM44.6 bilion," tambah beliau.
Sementara itu menjawab soalan asal Kalam adakah kerajaan bercadang untuk meningkatkan pelaburan tempatan KWSP kepada 70 peratus berbanding 64 peratus pada 2022, Ahmad berkata setakat Jun 2023, jumlah keseluruhan pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah sebanyak RM665 bilion.
Ujarnya, jumlah pelaburan tersebut dijangka meningkat kepada RM700 bilion pada akhir 2023 iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding pada 2022.
"Pelaburan KWSP adalah berpandukan alokasi dana yang ditetapkan oleh Panel Pelaburan KWSP pada setiap tahun.
"Untuk tempoh 2018 hingga 2022, KWSP telah memperuntukkan purata melebihi 80 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan untuk dilaburkan dalam pasaran domestik.
"Bagi 2023, sebanyak RM97 bilion atau 83 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan telah diperuntukkan," katanya.
Tambah Ahmad, KWSP akan terus memberi keutamaan kepada pelaburan domestik dengan membahagikan sebahagian besar daripada dana tahunannya kepada pasaran tempatan untuk pelaburan domestik, termasuk dalam bentuk pasaran wang di bank-bank tempatan.
#Belanjawan 2024 #Pengeluaran KWSP bersasar #Ahmad Maslan #Akaun Fleksibel
;