Akaun bank boleh disekat jika disyaki terlibat salah guna akaun, aktiviti jenayah - Zafrul

Harits Asyraf Hasnan
Mac 3, 2022 03:27 MYT
Tengku Zafrul berkata, bank boleh menutup akaun pelanggan hanya selepas pelaksanaan penilaian menyeluruh dilakukan dan notis diberi dalam tempoh yang munasabah kepada pelanggan. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pihak bank boleh mengenakan sekatan ke atas mana-mana pelanggan atau akaun bank yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan akaun atau aktiviti jenayah.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagaimanapun berkata, ia tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui semasa pembukaan akaun.
"Sekiranya transaksi-transaksi sesebuah akaun menimbulkan kecurigaan, pihak bank boleh mengenakan sekatan sementara ke atas akaun tersebut.
"Ia bagi membolehkan penilaian secara menyeluruh dilaksanakan, di samping memastikan wang daripada aktiviti penipuan ataupun aktiviti-aktiviti jenayah lain tidak dikeluarkan daripada akaun tersebut," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu adakah pihak bank berkuasa menutup akaun pengguna secara serta-merta hanya berdasarkan kepada fakta bahawa ada transaksi yang mencurigakan dalam akaun pelanggan, tanpa melakukan siasatan atau inkuiri terhadap pemegang akaun.
Abdul Azeez juga mahu tahu langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan pihak bank sebelum memutuskan bahawa akaun-akaun tersebut wajar ditutup serta-merta.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, bank boleh menutup akaun pelanggan hanya selepas pelaksanaan penilaian menyeluruh dilakukan dan notis diberi dalam tempoh yang munasabah kepada pelanggan.
Menurutnya, penamatan hubungan antara bank dan pelanggan bukanlah keperluan di bawah undang-undang, sebaliknya ia adalah panggilan perniagaan oleh pihak perbankan atau institusi kewangan berdasarkan penilaian risiko dalaman mereka.
"Antara bentuk sekatan yang boleh dikenakan oleh pihak bank adalah seperti menyekat kemudahan perbankan internet, kad debit dan mesin juruwang automatik, selain penutupan akaun setelah pihak bank berpuas hati dengan hasil penilaian mereka.
"Setelah melaksanakan langkah-langkah tersebut dan menilai tahap risiko yang sewajarnya, pihak bank boleh, tertakluk kepada perintah sekatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, mengambil keputusan untuk meneruskan transaksi atau urusan perniagaan dengan pemegang akaun tersebut, atau berdasarkan faktor-faktor tertentu, memutuskan untuk tidak meneruskan transaksi atau menutup akaun pelanggan," katanya.
#Dewan Rakyat #penutupan akaun #akaun bank disekat #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz