'Akan ada lagi tangkapan kes 1MDB' - Ketua Polis Negara
Sinar Harian
Julai 13, 2023 16:49 MYT
Julai 13, 2023 16:49 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa individu yang dikaitkan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis tidak pernah memberhentikan siasatan.
"Sebelum ini, bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas hadir bersama peguamnya 7 Julai lalu.
"Jadi, tidak mustahil yang lain (individu) pun juga akan ditahan," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman pada Khamis.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, Jasmine, 49, telah direman untuk disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis masih menyiasat dan akan bekerjasama dengan mana-mana agensi termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kita juga akan menyemak dengan Suruhanjaya Sekuriti sama ada Jasmine ini dikehendaki," ujarnya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Jasmine yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low ditahan polis Jumaat lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.
Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.
Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.
Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kenderaan dan wang tunai RM22,600 milik Jasmine.
Kedua-dua kenderaan itu masing-masing jenis Audi dan Volkswagen New Beetle disita pada 27 Januari 2021, manakala wang dalam akaun semasa Maybank Islamic miliknya disita pada 2 Februari 2021. -- Sinar Harian