Akademi Dalam Industri perkukuh saluran bakat mahir dan keperluan industri
Bernama
Mei 11, 2024 05:00 MYT
Mei 11, 2024 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Program Akademi Dalam Industri dijangka menyumbang kepada usaha memperkukuh saluran bakat mahir bagi memenuhi keperluan sektor industri di Malaysia secara sistematik dan berterusan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, inisiatif Akademi Dalam Industri berpotensi merubah landskap pasaran buruh negara secara signifikan.
Inisiatif berkenaan berdasarkan kepada 'work based learning' yang dapat dilihat di negara-negara seperti Jerman dalam meningkatkan kemahiran pekerja tempatan yang lebih relevan dari sudut permintaan industri.
"Kita tidak mahu melatih dan memberi sijil yang tiada keperluan dengan pemintaan industri, oleh itu kerjasama dengan syarikat tempatan serta kerajaan amat penting dalam memastikan peningkatan produktiviti pasaran di negara kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Akademi Dalam Industri, pada Sabtu.
Akademi Dalam Industri adalah usaha kerajaan untuk meneroka transformasi pembelajaran berasaskan kemahiran dalam pekerjaan dan pendidikan melalui latihan yang dilaksanakan oleh industri.
Inisiatif seumpama itu mampu membawa perubahan kepada landskap pendidikan negara dengan membina tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, dan secara serentak, memenuhi keperluan serta permintaan industri semasa.
Pada 2023, Malaysia merekodkan tahap produktiviti RM96,692 bagi setiap pekerja, menunjukkan peningkatan berbanding 2022 yang mencatatkan jumlah RM95,858 untuk setiap pekerja.
"Walaupun peningkatan 0.9 peratus ini sedikit, ia tetap satu peningkatan. Pertumbuhan produktiviti negara merupakan pemangkin ekonomi yang penting kerana ia memberi impak yang berkali ganda kepada pengeluaran produk dan penyampaian perkhidmatan," katanya.
Katanya lagi, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) telah mengenal pasti pertumbuhan secara kompetitif sebagai antara cabaran utama dalam melonjakkan kemajuan dan daya saing sektor pembuatan serta industri, yang merupakan pemacu utama ekonomi negara.
Oleh itu, pencapaian produktiviti Malaysia perlu sejajar dengan negara-negara jiran seperti Singapura, Vietnam, Thailand dan negara-negara serantau lain yang sedang berkembang dengan pesat.
Nilai pelaburan pada 2024 dan tahun-tahun yang akan datang dijangka menokok dengan tindakan agresif kerajaan mempromosikan negara sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi.
Pada awal bulan ini, Microsoft bersetuju menambah pelaburan bernilai US$2.2 bilion di Malaysia, yang merupakan pelaburan terbesar Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di negara ini.
Trajektori pelaburan yang memberangsangkan ini memerlukan ketersediaan tenaga kerja yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan pelabur.
"Peningkatan produktiviti yang kompetitif akan membuka lembaran baru bagi Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama pelaburan bernilai tinggi, serta menjadi hab perdagangan dan perindustrian yang utama.
"Ini akan melonjakkan penciptaan peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi dan berpendapatan lumayan, selain akan meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat secara keseluruhan," katanya.
Tengku Zafrul berkata kenaikan jumlah pekerja pada 2023 kepada 16.2 juta mencerminkan trajektori positif dalam pewujudan peluang pekerjaan baharu termasuk pengembangan aktiviti ekonomi yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti yang lebih kukuh.
Reformasi pasaran buruh yang bercirikan kenaikan gaji mesti diselaraskan dengan kemajuan prestasi dan produktiviti, tenaga kerja berkemahiran yang dipacu permintaan industri.
"Pampasan pekerja yang lebih baik sangat penting bagi Malaysia untuk beralih ke arah status negara maju dan berpendapatan lumayan," tambahnya. - BERNAMA