Akademi ASAS Penerangan Komuniti MADANI diperkasa seluruh negara - Fahmi
Bernama
Februari 23, 2025 19:30 MYT
Februari 23, 2025 19:30 MYT
Program Akademi ASAS Penerangan bagi memperkasa Komuniti MADANI akan diperluas ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. - Foto Facebook Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Program Akademi ASAS Penerangan bagi memperkasa Komuniti MADANI akan diperluas ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kerajaan akan menyediakan dana khas bagi memastikan ahli komuniti dapat bergerak lebih efektif di lapangan, sekali gus menghakis fitnah dan maklumat palsu dalam kalangan masyarakat setempat.
"Kita mahu memastikan pasukan secara keseluruhan mempunyai asas yang boleh membantu mereka menyampaikan maklumat dengan tepat, menangkis berita palsu serta mendekatkan rakyat dengan kerajaan MADANI.
"Harapan saya, selepas ini program ASAS akan menjelajah seluruh negara bermula di Sabah, kemudian ke Sarawak dan seterusnya Pantai Timur," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Akademi ASAS Penerangan (ASAS) Zon Tengah di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini, hari ini.
Fahmi berkata setakat ini 1,878 Komuniti MADANI dikenal pasti bagi mengikuti program berkenaan.
Sementara itu beliau berkata program tersebut turut digerakkan bersama kempen keselamatan dalam talian kendalian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman digital, termasuk isu buli siber.
"Program tersebut akan menjangkau 10,000 sekolah dan semua universiti awam, selain melibatkan Komuniti MADANI dalam menyampaikan modul keselamatan dalam talian kepada masyarakat," katanya.
Program Akademi ASAS Penerangan merangkumi pelbagai modul latihan, termasuk penguasaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan penyuntingan video, bagi memastikan Komuniti MADANI lebih yakin dalam berkomunikasi serta tepat dalam menyampaikan maklumat.
-- BERNAMA