AJK masjid, surau disaran pelbagaikan aktiviti tarik kehadiran jemaah
Bernama
Februari 1, 2024 09:50 MYT
Februari 1, 2024 09:50 MYT
PUTRAJAYA: Ahli Jawatankuasa masjid dan surau disaran mempelbagaikan lagi aktiviti yang boleh menarik minat umat Islam mengimarahkan rumah ibadat itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kerajaan sentiasa menyokong dan mengalu-alukan sebarang usaha sedemikian.
"Kita nak wujudkan gelombang (kedatangan ke masjid) yang besar, kita tak nak one-off sahaja, jadi kita kena pelbagaikan (aktiviti) seperti selain solat subuh, ada program lain seperti berjalan kaki.
"Masjid bukan saja tempat solat tapi tempat untuk kebajikan, pendidikan dan pelbagai aktiviti lain, serta kita nak libatkan anak-anak muda dalam program seperti ini supaya masjid akan nampak lebih diimarahkan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Program 'Solat Subuh Macam Jumaat' di Masjid Putra di sini hari ini yang disertai lebih 3,000 jemaah.
Program itu yang diadakan sempena Sambutan Hari Wilayah turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Program 'Solat Subuh Macam Jumaat ' itu diimamkan oleh Ustaz Abdul Karim Zakaria manakala tazkirah subuh pula disampaikan Al-Habib Najmuddin Othman Al-Khered.
Usai menunaikan solat subuh, Mohd Na'im dan Dr Zaliha menyertai ribuan peserta dalam program Berjalan Sihat sejauh 2.5 kilometer dari Dataran Putra menuju ke Dataran Putrajaya.
-- BERNAMA