Ajaran Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah di Malaysia tidak bercanggah kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah
Astro Awani
April 12, 2022 16:42 MYT
April 12, 2022 16:42 MYT
KUALA LUMPUR: Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah tidak bercanggah dari segi prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menurut Sheikh Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah di Malaysia, Sheikh Lokman Shazly al-Hafiz al-Maulawi Azlanii Zaharin, ia berpandukan bimbingan dan panduan para ulamak muktabar dalam bidang
Tasawuf seperti yang telah diluluskan di bawah Enakmen Tarekat tahun 2005 Negeri Sembilan.
Sheikh Lokman menjelaskan, pihaknya sedia untuk memberi penjelasan lanjut kepada mana-mana pihak sekiranya terdapat sebarang keraguan mengenai amalan Tarekat tersebut.
Ini kerana kata beliau, terdapat isu-isu yang sengaja dibangkitkan dengan tujuan mempertikai kesahihan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah.
Antara isu yang dibangkitkan ialah mengenai video tular Sheikh Baha'uddin, yang merupakan anak bekas pemimpin Tarekat tersebut, Allahyarham Sheikh Nazim al-Haqqani, menari bersama iringan muzik.
Sheikh Lokman memaklumkan ia adalah video sekitar tahun 2012 dan ia dirakam dalam satu temasya, dan bukan majlis zikir seperti didakwa sesetengah pihak.
"Walau bagaimanapun, apabila video tersebut sampai kepada ayahandanya iaitu Sheikh Nazim dan kekandanya Sheikh Mehmet Adil, maka ayahanda dan kekandanya telah menegur perbuatan Sheikh Baha’uddin. Sheikh Baha’uddin telah menginsafi kejadian tersebut.
"Seperti yang sedia maklum, Mursyid Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah kini adalah Sheikh Mehmet Adil, bukan Sheikh Baha’uddin," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Berkenaan gambar bersalaman antara Sheikh Nazim al-Haqqani dan wanita, Sheikh Lokman memaklumkan perkara ini adalah termasuk masalah yang terjadi perbezaan pandangan para ulama antara empat mazhab.
Jelas beliau, disebabkan Malaysia mengamalkan mazhab Shafie maka pada 2018 Jabatan Mufti Negeri Sembilan tidak membenarkan perkara tersebut.
"Oleh itu, pihak Tarekat berkomited untuk memastikan para murid menjaga adab sesuai dengan nasihat Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan," katanya lagi.
Mengulas mengenai dakwaan Tarekat tersebut mengambil baiah dari orang yang telah meninggal dunia seperti rakaman video di Pulau Besar yang tular di media sosial, Sheikh Lokman menjelaskan bukan dilakukan oleh Sheikh Nazim sebaliknya oleh anak muridnya, Sheikh Adnan Kabbani.
Menurut beliau, apa yang dilakukan Sheikh Adnan Kabbani adalah bertawassul, istighathah dan tabarruk dengan para wali yang telah wafat.
"Hukum ini adalah harus dalam syariat Islam seperti yang telah dijelaskan oleh ulama-ulama muktabar dalam Mazhab al-Shafiʽi seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Nawawi, Imam al-Ramli, Mufti Hadramaut Habib Abd al-Rahman al-Mashhur dan Imam Amin al-Kurdi al-Azhari dan banyak lagi.
"Justeru Jabatan Mufti Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Negeri Pahang juga telah mewartakan fatwa Persoalan Bid’ah Dalam Masalah Ikhtilaf/Khilaf Perkara Furu yang melarang menghukum bid’ah perkara-perkara perbezaan pandangan para ulama seperti masalah ini.
"Bahkan di dalam Fatwa Negeri Sembilan tersebut secara tegas menyatakan tawassul, tabarruk, berdoa dan membaca al-Quran di kubur adalah termasuk dalam perkara yang terjadi perbezaan pandangan para ulama dalam perkara furuʽ.
"Maka adalah tidak wajar menuduh perbuatan tersebut sebagai memuja kubur," ujar beliau.
Bagaimanapun beliau mengakui tingkah laku tersebut tidak sepatutnya dilakukan kerana tidak sesuai dengan adat kebiasaan setempat dan Sheikh Adnan Kabbani telah bertaubat.
Menurut Sheikh Lokman, berdasarkan kepada fakta-fakta dan hujah-hujah tersebut, maka perlu ditegaskan bahawa amalan yang terkandung dalam ajaran Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah di Malaysia adalah tidak bercanggah dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Beliau juga berharap agar semua pihak harus berlapang dada dan tidak membuat sebarang spekulasi tanpa terlebih dahulu merujuk kepada pihak berkuasa agama.
Pihak-pihak yang keliru dengan amalan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah dinasihatkan agar merujuk kepada pihak berkuasa agama seperti Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.
#Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah
#Sheikh Nazim al-Haqqani
#zikir
#amalan
#Ahli Sunnah Wal Jamaah
#tawassul