Tiga beranak maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangi mereka dihempap pokok kelapa sawit di Lorong Haji Ayub, Jalan Batu Putih, Batu Pahat, Johor pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Md Nor berkata pihaknya menerima panggilan jam 8.47 pagi dan menggerakkan sebuah jentera, EMRS dan dua unit motosikal dari BBP Penggaram dengan kekuatan 11 anggota.

Katanya mangsa yang maut dikenali sebagai Nor Azhana Othman, 48, yang menunggang motosikal, serta dua anaknya yang membonceng motosikal terbabit iaitu Siti Nurinsyirah Hasanuddin,17 dan Muhammad Arif Hasanuddin, 12.

Mohd Fauzi yang juga komander operasi berkata motosikal itu dihempap pokok kelapa sawit berketinggian 7.6 meter (25 kaki) dan 2 meter ukur lilit.

Katanya difahamkan ketika kejadian angin bertiup kencang dan pokok sawit terbabit juga sudah tua.

Mangsa disahkan meninggal ditempatkan kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Pihak bomba mengambil tindakan lebih kurang sejam bagi mengeluarkan mangsa dan membersihkan sisa pokok itu.

Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat jam 11.13 pagi.

Mangsa disahkan meninggal ditempatkan kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - Foto JBPM