Ajal tiba dalam perih mencari rezeki, pesara ditemui mati dalam bot
Astro Awani
Oktober 1, 2020 11:01 MYT
Oktober 1, 2020 11:01 MYT
KEMAMAN: Seorang nelayan yang juga pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) ditemui mati dalam bot gentian kaca miliknya di perairan Kerteh, Kemaman, Terengganu.
Mayat Wan Razali Wan Hasan, 61 tahun, dijumpai sekumpulan nelayan yang dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan kira kira jam 6.30 petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt. Hanyan Ramlan ketika dihubungi berkata, mangsa keluar menangkap ikan bersendirian di perairan Pantai Penunjuk, Kijal sekitar jam 2 petang Rabu (30 September).
Menurut Hanyan, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia ketika berada di perairan Kijal sebelum botnya hanyut kira-kira 30 kilometer ke perairan Kerteh.
Hanyan berkata, sekumpulan nelayan yang menemui mayat mangsa kemudiannya menunda bot berkenaan dan tiba di Jeti Kuala Kijal kira-kira jam 8.30 malam.
Pemeriksaan awal ke atas mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.