Ajal menjelang Ramadan, bayi antara lima maut

Sinar Harian
Mei 4, 2019 10:22 MYT
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Simpang Ruan awal pagi tadi. - Foto Facebook/Balai Bomba Dan Penyelamat Raub
Lima maut termasuk seorang bayi perempuan selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Simpang Ruan awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, tiga mangsa yang menaiki Perodua Kancil dan dua lagi dari Perodua Myvi meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tiga mangsa yang maut dari Perodua Myvi dikenali sebagai Hasliza Arini Muhammad@Hamid, 34 tahun, Muhammad Khalish Khautsar Mohd Syaril, 2 tahun, dan pemandu Perodua Kancil, Nashrul Fakhri Mansor, 38 tahun, bersama dua penumpang yang tidak dapat lagi dikenali identitinya terdiri seorang wanita dan bayi perempuan.
Tiga mangsa lain, pemandu Perodua Myvi, Mohd Syaril Sulaiman, 44 tahun, bersama anaknya, Khaliesa Khairina, 7 tahun, dan Dhia Afriena, 5 tahun, cedera parah akibat kemalangan tersebut.
Ketua Polis daerah, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku apabila Perodua Kancil yang dipandu Nashrul Fakhri dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Kereta Myvi yang dipandu, Mohd Syaril Sulaiman, dari arah Raub tidak sempat mengelak lalu bertembung.
"Kejadian itu menyebabkan beberapa mangsa tersepit hingga lima maut manakala tiga lagi cedera," katanya lagi.
Ujarnya, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Kancil itu dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk.
"Semua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan dua kanak-kanak yang parah turut dihantar ke hospital sama dan pemandu Perodua Myvi itu pula dirujuk ke Hospital Lipis.
"Kita telah mendapatkan keterangan awal daripada saksi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.
#ajal #kemalangan #maut #Ramadan
;