Ajal ketika cari rebung
Salim Aziz
September 30, 2018 14:00 MYT
September 30, 2018 14:00 MYT
Kerunsingan keluarga terhadap seorang lelaki orang kurang upaya OKU yang tidak pulang sejak petang Sabtu dikejutkan dengan penemuan mayatnya bersama seguni rebung.
Mayat Rozain Rosly, 30 tahun, dijumpa di dalam sebuah kolam terbiar sedalam tiga meter di Kampung Sahabat dekat Kaki Bukit, Padang Besar, Perlis, kira-kira 9.10 pagi tadi.
Mayat ditemui di bawah guni rebung yang terapung oleh ahli keluarganya yang terlibat bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan polis dari unit K9 ketika operasi mencari dan menyelamat.
Menurut abang mangsa yang juga anggota APM Padang Besar, Rosliady Rosly, adiknya keluar ke kawasan terbabit sekitar jam 3 petang Sabtu untuk menjaga dan memberi makan kira-kira 10 ekor ternakan lembu milik keluarga mereka.
Namun, sehingga jam 7 petang, adiknya tidak juga pulang.
Dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kaki Bukit sebelum menghubungi bilik gerakan APM untuk bantuan.
"Rupanya dia pergi cari rebung. Tidak jauh daripada kandang, berdekatan juga kawasan itu, tetapi air di dalam parit itu dalam.
"Tadi kami nampak ada plastik berisi rebung terapung, dan mayat di bawah plastik itu," kata Rosliady.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk proses bedah siasat.
Menurut ahli keluarga, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Lubuk Sireh, petang nanti.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Muhammad Halim Yatim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada apa-apa unsur jenayah.