Ajal dalam perjalanan ke tempat kerja, pemuda maut motosikal langgar tiang elektrik
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 23, 2021 17:43 MYT
Ogos 23, 2021 17:43 MYT
BUTTERWORTH: Seorang pemuda yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Sungai Dua di sini, hari ini.
Mangsa yang berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR bekerja di sebuah kilang di Seberang Jaya dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
"Siasatan awal mendapati motosikal itu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik di tepi kiri jalan menghala ke arah Sungai Dua.
"Akibat kejadian itu, penunggang disahkan maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada kepala dan badan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Noorzainy berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.