Airmata gembira Rohana terima taraf kewarganegaraan

Bernama
April 29, 2022 17:54 MYT
Rohana Abdullah, 22, menitiskan air mata sambil diperhatikan ibu angkatnya, Chee Hoi Lan, 83, selepas beliau diberikan surat keputusan kewarganegaraan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Air mata gembira mengiringi Rohana Abdullah, yang ditinggalkan ibunya seorang warga Indonesia dan diasuh wanita Malaysia berketurunan Cina, ketika dia melangkah ke atas pentas di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini untuk mendapatkan taraf kewarganegaraannya.
Sejurus menerima surat keputusan kewarganegaraan daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin di pentas, gadis berusia 22 tahun itu kembali semula ke tempat duduknya lalu memeluk erat ibu angkatnya Chee Hoi Lan, 83, sebelum meninggalkan majlis itu.
Meskipun usaha untuk menemu bual Rohana gagal, namun Hamzah berkongsi perbualan antara mereka ketika di atas pentas, dan menurutnya Rohana amat terharu dengan penganugerahan itu.
"Ketika di pentas, dia (Rohana) menangis kerana sudah lama tunggu keputusan status permohonan kewarganegaraannya.
"Dia ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan saya katakan kepada beliau yang sebenarnya kita berikan taraf kewarganegaraan kepada individu yang berkelayakan," kata Hamzah mengenai reaksi Rohana selepas menerima surat keputusan kewarganegaraan itu.
Rohana merupakan salah seorang daripada 34 penerima berusia antara lima dan 24 tahun yang menerima taraf kewarganegaraan Malaysia pada majlis yang berlangsung di Kementerian Dalam Negeri.
Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada kerajaan dalam sesuatu hak keadaan khas untuk mendaftarkan seseorang yang berusia kurang daripada 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara.
Permasalahan Rohana sebelum ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menghubunginya untuk membantu gadis itu dalam urusan dokumentasi status kewarganegaraan beliau.
Media sebelum ini melaporkan Rohana ditinggalkan ibunya, seorang warga Indonesia, dan dijaga kira-kira 20 tahun oleh Chee yang juga guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.
-- BERNAMA
#Rohana Abdullah #kewarganegaraan #air mata #KDN #Kementerian Dalam Negeri #Chee Hoi Lan #Hamzah Zainudin
;