AirAsia tidak kompeten? Ini saranan Alexander...
Firdaus Azil
Mei 9, 2022 16:14 MYT
Mei 9, 2022 16:14 MYT
PUTRAJAYA: Kelewatan penerbangan AirAsia sudah dikesan berlaku sejak penghujung bulan April, dan masih berlarutan hingga kini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Ahli Parlimen Kapit itu berkata, sebagai menteri yang ditugaskan menjaga pengguna, beliau mengambil maklum mengenai rungutan, aduan dan keluhan disuarakan pengguna berhubung kelewatan penerbangan AirAsia, membabitkan pelbagai destinasi dalam negara.
Tegasnya lagi, kementerian akan terus menjalankan siasatan dari sisi kepentingan pengguna, dan bekerjasama dgn Kementerian Pengangkutan bagi merungkai permasalahan tersebut, demi memastikan ia tidak berlanjutan dan berulang.
Dalam pada itu, Nanta berkata, bagi makluman pengguna perkhidmatan penerbangan, mereka berhak menuntut pampasan (tertakluk kepada beberapa faktor) bagi meneruskan perjalanan.
“Bergantung kepada punca penundaan atau pembatalan, berdasarkan maklumat daripada mavcom.my, pampasan ini mungkin merangkumi makanan, panggilan telefon, dan akses internet (bagi penangguhan selama 2 jam atau lebih).
“.. penginapan hotel dan pengangkutan (untuk penangguhan selama 5 jam atau lebih); dan pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif (jika penerbangan anda dibatalkan),” katanya lagi.
Pemerhatian Astro AWANI di beberapa laman sosial mendapati ramai pihak meluahkan rasa kecewa dengan tahap perkhidmatan AirAsia di bawah Capital A itu, terutamanya ketika musim perayaan.
Dalam pada itu, Nanta berkata, satu-satunya pengecualian (bagi mendapatkan pampasan) adalah apabila berlakunya suatu “keadaan luar biasa” yang termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrem, yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangkanya.
“Jika anda berpandangan bahawa anda tidak menerima pampasan sewajarnya, sila kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut sebelum anda menghubungi MAVCOM,” katanya lagi.