AirAsia tidak jual data peribadi pelanggan kepada firma Amerika Syarikat - JPDP
Isabelle Leong
Oktober 14, 2020 12:41 MYT
Oktober 14, 2020 12:41 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada isu ketirisan dan penjualan data peribadi pelanggan kepada firma Amerika Syarikat oleh Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia) seperti dilaporkan.
Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menerusi satu kenyataan pada Rabu mengesahkan perkara itu dan berkata pihaknya sudah menerima penjelasan syarikat penerbangan itu.
“JPDP telah menerima penjelasan daripada AirAsia mengenai laporan media berkaitan penjualan data peribadi syarikat penerbangan itu kepada firma Amerika Syarikat.
"Pihak jabatan mengambil maklum tiada isu ketirisan dan penjualan data peribadi yang berlaku serta berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak AirAsia berkaitan isu tersebut," menurut kenyataan itu.
JPDP, bagaimanapun, menegaskan bahawa perbuatan penjualan data peribadi merupakan kesalahan di bawah Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
“Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.
Sebelum ini, terdapat laporan yang mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menyatakan terdapat firma pemberi pinjaman bersedia menawarkan pinjaman sehingga AS$1 bilion yang bersamaan dengan RM4.15 bilion bagi perniagaan data syarikat penerbangan tambang murah tersebut.