AirAsia teruskan penerbangan ke Chennai, tiada pembatalan setakat ini
Bernama
Disember 5, 2023 20:37 MYT
Disember 5, 2023 20:37 MYT
KUALA LUMPUR: AirAsia mengesahkan pihaknya tidak membatalkan sebarang penerbangan ke dan dari Chennai, India, setakat ini berikutan banjir pada pagi Selasa yang menyebabkan operasi di lapangan terbang itu terpaksa ditutup.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu memberitahu Bernama bahawa kesemua penerbangannya yang dijadualkan pada hari ini, diteruskan.
Malah, syarikat itu akan terus memantau keadaan di Chennai secara harian.
Operasi Lapangan Terbang Chennai telah digantung susulan hujan lebat serta angin kencang berikutan Siklon Michaung.
Mengikut laporan berita, Chennai dilanda hujan lebat dan banjir ketika Siklon Michaung menghampiri bandar berkenaan.
-- BERNAMA