AirAsia tarik balik keluaran Travel3sixty ekoran artikel 'kurang sensitif'
Arfa Yunus
April 5, 2014 16:24 MYT
April 5, 2014 16:24 MYT
AirAsia hari ini memohon maaf dan menarik balik majalah dalam pesawat miliknya, Travel3Sixty dari semua penerbangan ekoran sebuah artikel di dalam majalah terbabit yang dikritik sebagai tidak sensitif dengan tragedi MH370.
Pengerusi Eksekutif kumpulan Datuk Kamarudin Meranun yang juga penerbit majalah terbabit berkata dalam satu kenyataan, bahawa mereka akan turut mengambil tindakan disiplin ke atas kumpulan editorial majalah berkenaan.
"Saya dengan rendah diri dan penuh kesal ingin memohon maaf di atas sebarang rasa kurang senang yang timbul ekoran artikel ruangan Pilot's Perspective di dalam isu terkini majalah Travel 3Sixty," katanya.
“Keratan ini merupakan ruangan bulanan yang ditulis oleh Kapten Lim Khoy Hing, seorang juruterbang bersara yang bekerja dengan AirAsia selain pernah bekerja bersama Malaysia Airlines. Beliau banyak menulis buku mengenai dunia penerbangan.
“Kapten Lim menyumbang artikelnya beberapa bulan lebih awal sebelum majalah dicetak. Malangnya, tanpa apa-apa niat, artikel pada keluaran kali ini membincangkan mengenai sistem GPS dan Radar, dimana sebenanrnya ianya telah dicetak sebelum tarikh pengeluaran,” kata Kamarudin.
Kandungan 'sensitif' tersebut menjelaskan mengenai proses latihan dan persediaan seseorang juruterbang AirAsia yang berterusan dan teliti dimana mereka yang dilatih akan memastikan ‘pesawat yang dinaiki tidak akan hilang’.
Ekoran tragedi pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati dikalangan rakyat Malaysia yang kini amat sensitif dengan isu ini.
Satu tweet yang dihantar menerusi akaun @Jeghui meminta penjelasan daripada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman Rani tentang perkara ini yang melibatkan penulisan di bahagian ‘Perspektif Juruterbang’.
Azran menjawab soalan tersebut dengan berkata bahawa proses suntingan telah ditutup enam minggu lebih awal iaitu pada bulan Februari, namun beliau mengakui ia merupakan satu kecuaian dan majalan tersebut akan dikeluarkan daripada semua pesawat AriAsia.
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal. Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman bahawa pesawat MH370 ‘berakhir’ di selatan Lautan Hindi.
Sementara itu, perkhidmatan penghantaran makanan Room Service yang sebelum ini mengeluarkan kata-kata kurang sensitif telah meminta maaf atas kesilapan yang dikatakan telah menyinggung perasaan mereka yang terlibat dalam tragedi MH370.
Room Service mengeluarkan iklannya pada 10 Mac lalu, iaitu dua hari selepas pesawat MH370 dilaporkan hilang yang bertajuk ‘Let Us Get You Food While You're Glued to MH370 News Today'. #prayforMH370 (Biar kami bawakan makanan kepada anda sementara anda mengikuti laporan berita MH370 hari ini. #prayforMH370).
Pelakon Zed Zaidi sebelum ini turut dicemuh di Twitter selepas menjadikan berita kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan Boieng 777 – 200 MH370 sebagai satu bahan jenaka.
Zed telah menyoal di Twitternya tentang kebenaran berita tersebut dan mengaitkan ia dengan isu hidangan ‘nasi lemak telanjang’ dan ‘asam pedas’ MAS.
Tuitnya itu kemudian sudah dipadam, namun ianya telah menjadi viral dan diperkata ramai.
Tulisannya itu membuatkan warga Twitterjaya termasuk rakan artis sendiri marah dan menyifatkan pelakon tersebut tidak berfikir sebelum menulis.
Dalam pada itu, Bekas Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin juga diselar di jaringan media sosial Twitter kerana tuitnya yang dilihat memperolok-olokkan kehilangan MH370.
Nizar berkata kegagalan pihak berkuasa mengesan pesawat itu beberapa jam selepas terputus hubungan sejak pukul 2.40 pagi Sabtu menunjukkan "Segitiga Bermuda yang baru telah dikesan di kawasan perairan Vietnam. Peralatan sofistikated yang lengkap tidak ada guna."