AirAsia, (RED) dan 88Rising bekerjasama banteras AIDS

Malik Ridhwan
November 13, 2018 22:25 MYT
Sean Miyashiro, Deborah Dugan, Tony Fernandes, Dr Dzulkefly dan Syed Saddiq bergambar dengan berlatar belakangkan pesawat rekaan khas, WEAREALLCHAMPIONS dalam majlis pengumuman kerjasama antara AirAsia, (RED) dan 88Rising. - Foto AirAsia
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, (RED) bagi mengumpul dana untuk membantu pesakit AIDS di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, melalui (AirAsia)RED, pihaknya akan menyalurkan kutipan yang diperoleh daripada jualan promosi tempat duduk percuma yang sedang berlangsung sekarang dan pelbagai promosi lain pada tahun hadapan dalam sebuah dana global bagi membantu program HIV/AIDS di ASEAN.
"Bagi setiap tempat duduk yang dijual di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia dalam tempoh 24 jam bermula Selasa hingga tengah hari Rabu, AirAsia akan menderma USD 20 sen (kira-kira RM0.80) untuk menanggung keperluan rawatan antiretroviral harian pesakit HIV/AIDS ini.
"Selain itu, kami juga akan bekerjasama dengan sebuah syarikat label muzik antarabangsa, 88Rising bagi melancarkan sebuah festival muzik dan seni pada tahun hadapan untuk meningkatkan sikap positif dan kesedaran terhadap penyakit ini," katanya ketika membuat pengumuman kerjasama tersebut, di sini pada Isnin.
Tambah Fernandes, kerjasama global ini adalah untuk meneraju peluang baharu, bagi pesakit HIV/AIDS dan dari segi membawa mesej positif serta membawa arus perubahan di ASEAN.
“Ini hanya titik permulaan, dan kami mempunyai lebih banyak rancangan bersama (RED) dengan sokongan daripada 88rising, untuk meluaskan rangkaian di rantau ini,” kata Fernandes.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (RED) Deborah Dugan berkata, pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan sebuah jenama yang kreatif dan inovatif seperti AirAsia.
“AirAsia sebuah jenama pilihan ramai dan mereka komited untuk membawa perubahan ketara di Asia Tenggara. Justeru, kami percaya kerjasama (AirAsia)RED ini dapat membawa kesedaran terhadap AIDS ke tahap yang baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis tersebut.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 88rising Sean Miyashiro berkata, festival muzik dan seni ASEAN ini dapat mendorong orang ramai untuk turut sama-sama menyelamatkan nyawa.
“Kami akan bersama-sama menjana idea yang kreatif untuk menghasilkan pengalaman unik sambil mewujudkan kesedaran dan penglibatan besar-besaran buat penonton para penonton di peringkat global,” katanya.
Kerjasama (AirAsia)RED turut diserikan dengan pengenalan rekaan pesawat khas (livery) (WEAREALLCHAMPIONS)RED sempena 10 kali kejayaan AirAsia memenangi Anugerah Penerbangan Dunia Skytrax berturut-turut.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
#88Rising #AIDS #AirAsia #ASEAN #Deborah Dugan #HIV #kerjasama #NGO #pertubuhan bukan kerajaan #pesakit AIDS #Red #Sean Miyashiro #Tony Fernandes
;