AirAsia QZ8501: Kotak hitam kedua berada di Jakarta untuk dianalisis
Astro Awani
Januari 13, 2015 22:56 MYT
Januari 13, 2015 22:56 MYT
Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan menjumpai kotak hitam kedua pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.
Kotak hitam kedua yang mengandungi perakam suara kokpit itu kini berada di Jakarta untuk dianalisis.
Ketua Majlis Keselamatan dan Pengangkutan Indonesia (KNKT), Tatang Kurniadi berkata sebelum itu beberapa pegawai bertanggungjawab telah ditugaskan mengambil kotak hitam tersebut dari kapal KRI Banda Aceh dan menerbangkannya ke Pangkalan Bun.
“Buat masa ini, saya telah menerima maklumat nombor siri di kotak hitam tersebut dalam bentuk penulisan, namun sebagai seorang pegawai yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk mengesahkannya, penting untuk saya melihatnya sendiri,” kata Tatang.
Sementara itu, di Surabaya pasukan pengecaman mangsa bencana (DVI) mengesahkan mengenal pasti dua lagi jasad mangsa.
“Dua belas lagi mangsa masih lagi dalam proses kenalpasti dan kini berada pada peringkat ante-mortem dan post-mortem,” kata ketua Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI), Dr Budi Yono.
Sehingga kini, 36 jasad daripada 48 yang dijumpai dikenal pasti pasukan terdiri daripada pakar forensik dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Australia dan Arab Saudi.
Jasad yang sudah dikenal pasti identiti diserahkan kepada keluarga urusan pengkebumian.
#AirAsia QZ8501
#Jakarta
#Ketua Majlis Keselamatan dan Pengangkutan Indonesia
#KNKT
#kotak hitam kedua
#perakam suara kokpit