AirAsia mahu jual produk IAT tempatan dalam pesawat

Abd Razak Mohd Ali
Julai 28, 2018 15:08 MYT
Salahuddin mahu FAMA melakukan penambahaikan dari segi pembungkusan, mutu dan penjenamaan supaya ia benar-benar meyakinkan pelanggan. - Gambar fail
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahu meninjau pasaran baru bagi produk industri asas tani (IAT) tempatan dalam usaha meningkatkan lagi pendapatan mereka yang terlibat di dalam sektor berkenaan.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, antara segmen baru yang telah menunjukkan minat ialah jualan dalam pesawat syarikat tambang murah, AirAsia.
Sehubungan itu, beliau mahu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus mempertingkatkan kecemerlangan mereka dan tidak boleh berpuas hati dengan apa yang kita capai pada hari ini.
Menurut Salahuddin, tiga hari yang lalu beliau telah mengadakan perbincangan dengan pemilik Airasia, Tan Sri Tony Fernandes yang mahu, secara beransur-ansur, menggantikan jualan udara mereka dengan barang-barang tempatan.
“Ini satu yang sangat mengujakan dan mengembirakan kita, ini satu peluang yang sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pesta Buah-Buahan, Bunga dan Makanan 2018 di RTC Gopeng di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, syarikat penerbangan itu berhasrat untuk menempatkan 70 peratus produk IAT tempatan, antaranya minuman ringan, snek dan coklat.
“Saya begitu teruja dan terus memberitahu pihak FAMA supaya mengambil serius tentang perkara ini dan terus mengadakan `constructive engagement’ dengan pihak Airasia dan kalau ini berjaya kita lakukan, maka pada masa-masa akan datang, saya rasa kita kita boleh untuk tinjau pasaran seperti ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mahu FAMA melakukan penambahaikan dari segi pembungkusan, mutu dan penjenamaan supaya ia benar-benar meyakinkan pelanggan.
Salahuddin memberitahu, selain daripada jenama Agromas dan pasar tani yang sinonim dengan FAMA, pihaknya juga merancang untuk mewujudkan hypermarket untuk FAMA menjual hasil produk pertanian dan IAT tempatan.
Menurutnya, ia juga selaras dengan misi besar kementerian untuk menjadikan pertanian sebagai sara diri dengan slogan baharu - pertanian adalah sumber rezeki.
Katanya, sekiranya pendapatan bulanan petani dapat tingkatkan, sudah pasti ia menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan semakin banyak hasil pertanian dapat dihasilkan, maka kebergantungan kepada import dapat dikurangkan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada 22 November hingga 2 Disember depan.
“Saya mengharapkan tahun ini bukan sekadar peningkatan dari segi individu, syarikat atau hasil-hasil pertanian yang dapat kita tampilkan tetapi yang lebih penting ialah bagaimana peningkatan itu akan mengakibatkan limpahan kepada warga petani untuk bertambahnya pendapatan bulanan mereka,” kata beliau.
#AirAsia #coklat #Malaysia #pelancongan #penerbangan #Salahuddin Ayub #Tony Fernandes
;