AirAsia lanjut pembatalan sementara penerbangan dari dan ke Wuhan

Fareez Azman
Januari 28, 2020 23:20 MYT
AirAsia melanjutkan pembatalan sementara penerbangan ke Wuhan sehingga 29 Februari ini. - Gambar fail
Pembatalan sementara semua penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket Ke Wuhan, China dilanjutkan sehingga 29 Februari depan.
Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan pelanggan dengan tempahan penerbangan dari dan ke semua destinasi di tanah besar China boleh memperoleh akaun kredit atau pulangan bayaran penuh.
Pelanggan yang terjejas dengan perubahan penerbangan dan larangan perjalanan boleh memilih akaun kredit, mengekalkan nilai tambang dalam akaun AirAsia BIG Loyalty mereka untuk perjalanan akan datang atau pulangan bayaran penuh.
BACA: Koronavirus: AirAsia benar pelanggan tukar tarikh penerbangan destinasi China
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Hati-hati dengan wabak koronavirus!
Akaun kredit hanya terpakai untuk semua penerbangan dari dan ke tanah besar China sehingga 15 Februari atau 29 Februari untuk penerbangan dari dan ke Wuhan sahaja bagi tiket yang dikeluarkan sebelum 28 Januari.
Pulangan bayaran penuh hanya terpakai untuk semua penerbangan dari dan ke tanah besar China sehingga 15 Februari dan penerbangan balik dari 16 hingga 29 Februari untuk tiket yang dikeluarkan sebelum 28 Januari.
AirAsia pada 23 januari lalu mengumumkan pembatalan sementara semua penerbangannya dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket Ke Wuhan, China sehingga selasa berikutan kebimbangan novel koronavirus.
#AirAsia #Asia #Bangkok #China #koronavirus #Kota Kinabalu #Media #pembatalan #penerbangan #pesawat
;