AirAsia fail tuntutan balas RM400 juta terhadap MAHB
Bernama
Januari 23, 2019 07:58 MYT
Januari 23, 2019 07:58 MYT
AirAsia Bhd memfailkan tuntutan balas lebih RM400 juta terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sebagai respons kepada saman yang difailkan oleh pengendali lapangan terbang itu pada bulan lepas mengenai cukai lapangan terbang.
Syarikat penerbangan itu berkata tuntutan balas tersebut bagi kerugian dan kerosakan yang dialami oleh AirAsia dan syarikat penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X Bhd disebabkan gangguan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
"Gangguan itu termasuk saluran paip minyak yang bocor, yang menghalang operasi di Pier P selama lebih sebulan di klia2 dari 11 Okt hingga 22 Nov, 2016, dan penutupan di Landasan 3 beberapa kali pada tahun lepas.
"Kerugian ditanggung disebabkan keperluan untuk menunda pesawat tambahan dan kos bahan api, penangguhan, tenaga kerja yang terlibat, pembatalan penerbangan yang menyebabkan kehilangan pendapatan dan kos 'taxi'," katanya.
Bulan lepas, anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, menyaman AirAsia Bhd dan AirAsia X, masing-masing sebanyak RM9.40 juta dan RM26.72 juta, atas dakwaan tunggakan caj perkhidmatan penumpang (PSC).
PSC, yang dibayar oleh penumpang, dikutip oleh syarikat penerbangan semasa pembelian tiket. Ia kemudiannya diserahkan kepada MAHB selepas selesai penerbangan.
AirAsia berkata bersama-sama dengan AirAsia X, ia telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman MAHB atas alasan bahawa ia salah faham dan pramatang berikutan MAHB tidak mematuhi peruntukan undang-undang untuk penyelesaian pertikaian dalam Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta Mavcom).
Menurut AirAsia, Seksyen 74 hingga 78 Akta Mavcom menyatakan MAHB dan pengendali syarikat penerbangan mempunyai kewajipan untuk melakukan pengantaraan sebarang pertikaian mengenai apa-apa perkara di bawah akta itu, dan tindakan undang-undang hanya digunakan sebagai langkah terakhir selepas usaha penyelesaian pertikaian dan pengantaraan gagal.
-- BERNAMA
#AirAsia
#Airasia X
#Caj Perkhidmatan Penumpang
#cukai
#gangguan operasi
#ganti rugi
#KLIA2
#lapangan terbang
#MAHB
#penerbangan
#pesawat
#PSC
#saman
#tuntutan