AirAsia enggan pindah ke KLIA2, Kementerian Pengangkutan tunggu dan lihat

Astro Awani
April 2, 2014 12:06 MYT
Kementerian Pengangkutan enggan mengulas keengganan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia dan Air Asia X untuk berpindah dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) biarpun terminal itu akan menghentikan operasinya pada 9 Mei ini.
AirAsia dijangka akan dipanggil tidak lama lagi oleh jawatankuasa parlimen untuk memberikan pandangannya mengenai lapangan terbang baru itu.
"Saya tidak boleh komen dulu. Kita tunggu hari itu," kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi seperti dipetik oleh Bernama.
LCCT akan menamatkan operasi pada tarikh itu apabila kerajaan memindahkan semua agensi berkaitan seperti imigresen dan kastam berpindah ke lapangan terbang baru, KLIA2.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar dalam satu kenyataan pada Selasa berkata pihaknya sedia berpindah ke KLIA2 tetapi perpindahaan itu hanya akan dibuat selepas semua isu diatasi.
Beliau merujuk kepada kajian Ikram Premier Consultings mengenai kesediaan KLIA2 baru-baru ini yang menunjukkan ada lekukan di landasan yang memerlukan langkah pemulihan berkala.
"Keadaan ini akan menjejas operasi penerbangan hab seperti kumpulan AirAsia yang mempunyai kira-kira 400 pergerakan pesawat sehari dan sekurang-kurangnya 70 pesawat miliknya di LCCT," kata Aireen.
Selain itu, Aireen juga memaklumkan pihaknya memerlukan masa lebih daripada dua bulan seperti yang diberikan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk berpindah ke lapangan terbang baru itu.
Tempoh yang diberikan oleh MAHB itu pada pendapat AirAsia "tidak realistik dan terlebih optimis."
Selain itu, Aireen juga membangkitkan beberapa isu lain dalam kontrak antara AirAsia dan MAHB yang perlu diselesaikan sebelum perpindahan itu dibuat.
Dalam perkembangan berkaitan, pengurus kanan MAHB, Datuk Azmi Murad berkata KLIA2 akan beroperasi mengikut jadual.
Ditanya apakah AirAsia ada masa yang cukup untuk memindahkan operasinya ke lapangan terbang baru itu, beliau berkata: "Kita akan lihat."
#AirAsia #AirAsiaX #Aireen Omar #KLIA2 #LCCT
;