AirAsia belum jawab cadangan balas Kementerian Pengangkutan Sarawak - Lee
Bernama
November 14, 2023 05:50 MYT
November 14, 2023 05:50 MYT
SIBU: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia masih belum memberi jawapan terhadap cadangan balas oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak berhubung keputusannya untuk menggantung operasi laluan Singapura-Miri dan Singapura-Sibu berkuat kuasa 21 Feb tahun depan.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata surat daripada kementeriannya kepada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat bertarikh 8 Nov itu mencadangkan alternatif lain dengan meneruskan sektor berkenaan dengan pengurangan jumlah perjalanan sehingga masalah muatan rendah dapat diselesaikan.
"Apabila muatan distabilkan dan ditambah baik pada masa depan, AirAsia mungkin boleh tingkatkan kekerapan penerbangan untuk kedua-dua laluan itu. Pada masa ini, AirAsia Berhad beroperasi empat kali dari Singapura ke Miri dan tiga kali ke Sibu setiap minggu dengan purata muatan masing-masing 69 dan 67 peratus," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kementerian Pengangkutan Sarawak pada 7 Nov, telah menerima e-mel daripada AirAsia Berhad memaklumkan syarikat penerbangan itu membuat keputusan untuk menggantung operasi dua sektor itu berikutan muatan rendah, kerugian besar dan rasionalisasi operasi keseluruhan syarikat berkenaan.
Sementara itu, Lee berkata Scoot Pte. Ltd melalui Ketua Pegawai Komersial Calvin Chan mengesahkan rancangan SCOOT Airlines untuk meningkatkan penerbangan ke Sarawak, khususnya ke Kuching dan Miri, serta memulakan laluan baharu ke Sibu tahun hadapan.
Bagaimanapun, Lee berkata tarikh sebenar penambahan penerbangan dan laluan ke Sibu tidak dapat dipastikan lagi kerana menunggu ketibaan pesawat baharu yang berkemungkinan pada suku kedua 2024.
Beliau berkata SCOOT Airlines melakukan penerbangan dari Singapura ke Kuching setiap hari manakala jadual penerbangan ke Miri adalah tiga kali seminggu sejak Februari 2022 dan sudah tiba masanya syarikat penerbangan itu meningkatkan operasi ke Miri dan Sibu memandangkan kedua-dua destinasi berkenaan mula menjadi tumpuan ahli perniagaan dan pelancong.
"Kami percaya inisiatif ini akan meningkatkan aktiviti pelancongan dan ekonomi di Sarawak, dengan Miri dan Sibu dapat diketengahkan sebagai antara tarikan pelancongan utama bagi pencinta hutan hijau dan hidupan liar serta persekitaran sosial yang harmoni," katanya.
Selain itu, beliau berkata Miri juga akan menerima penerbangan tambahan menerusi Firefly Sdn Bhd yang memulakan dua penerbangan mingguan antara Miri dan Kota Kinabalu bermula 22 Nov ini.
"Kami yakin inisiatif ini akan menjadi permulaan kepada hubungan lebih kukuh antara Firefly Sdn Bhd dan Sarawak, sekali gus meningkatkan ketersambungan udara untuk aktiviti perniagaan, pelaburan dan pelancongan antara lain-lain negeri dan Sarawak," katanya.
-- BERNAMA